Jumaat, 11 Januari 2013

HKR112: PAS saran polis pakai uniform rasmi


 MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR: Sambil mengucapkan penghargaan kepada pihak Stadium Merdeka kerana memberikan kelulusan untuk menggunakan stadium untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013, PAS hari ini menyarankan agar pihak polis dan pasukan keselamatan yang bertugas pada hari Sabtu ini memakai uniform rasmi berserta tanda nama serta nombor anggota mereka.

“Ini bagi menyakinkan orang ramai dan mengelak berulangnya kekecohan di perhimpunan Bersih 3.0,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan itu dibuat kerana PAS ada menerima maklumat terdapat pihak-pihak tertentu yang dibekalkan baju HKR yang akan menyusuk masuk dalam himpunan bagi tujuan yang meragukan, kata beliau.

Selain itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata Unit Amal PAS dan orang ramai yang hadir disaran turut berperanan bagi merakam sesiapa sahaja yang cuba lakukan provokasi pada hari tersebut.

“Sebarang ucapan yang menyerang peribadi mana-mana individu, mengapi-apikan isu perkauman dan agama, perkataan bersifat provokasi mesti dielakkan,” kata beliau.

Semalam, Pengerusi HKR, Mohamad Sabu berkata, surat tersebut diterimanya jam 2.30 petang tadi dan wakil jawatankuasa HKR akan bertemu dnegan pihak pengurusan stadium untuk perbincangan lanjut jam 10 pagi esok.

"Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada pihak Stadium Merdeka kerana membenarkan HKR diadakan di stadium.

"Kami akan hantar jawatankuasa untuk berunding dengan pihak pengurusan tentang penyelarasan dan peraturan 'do and don't yang dikenakan oleh pihak stadium jam 10 pagi hari ini.

"Kami juga akan memaklumkan segera kepada Ketua Polis Negara untuk mendapatkan kerjasama seperti yang dijanjikan dan akan berjumpa dengan OCPD Dang Wangi," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAs, Jalan Raja Laut.

Beliau juga yakin HKR ini merupakan HKR terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 dan berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram.

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Himpunan Kebangkitan Rakyat #112

PAS mengalu-alukan kebenaran Pihak Stadium Merdeka yang memberi kebenaran kepada peserta HKR berhimpun pada 12hb ini serta jaminan pihak polis untuk mengawal bagi mempastikan tiada kekecohan yang sengaja diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu.

Sehubungan itu, seluruh jentera keselamatan dan Unit Amal PAS dan orang ramai disaran turut berperanan bagi merakam sesiapa sahaja yang cuba lakukan provokasi pada hari tersebut. Sebarang ucapan yang menyerang peribadi mana-mana individu, mengapi-apikan isu perkauman dan agama, perkataan bersifat provokasi mesti dielakkan.

PAS juga menerima maklumat terdapat pihak-pihak tertentu yang dibekalkan baju HKR yang akan menyusuk masuk dalam himpunan bagi tujuan yang meragukan.

PAS berharap pihak polis dan pasukan keselamatan mestilah mengutamakan keselamatan rakyat dan menggunakan uniform rasmi beserta tanda nama dan nombor anggota bagi menyakinkan orang ramai dan mengelak berulangnya kekecohan di perhimpunan Bersih 3.0.

Tuan Ibrahim Tuan Man Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: