Ahad, 13 Januari 2013

Himpunan Sabah lempar bunga mawar ke ‘keranda kezaliman’

Balqis Abdullah

KOTA KINABALU : Lebih 500 orang menyertai Himpunan Sabah Bangkit di Red Square, Taman Chong Thien Vun, semalam.

Pada himpunan itu, mereka membaling bunga mawar ke arah keranda yang tertulis ‘Keranda Kezaliman’sebagai simbolik melawan kezaliman pemerintah.



Dianjurkan gabungan NGO Menuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR) berakhir jam 3 petang itu, himpunan itu mengemukakan 11 tuntutan untuk rakyat Sabah.

Ia meliputi isu peluang pekerjaan, rumah mampu milik, kos sara hidup rendah, liputan jalur lebar percuma, kadar jenayah minimum, kemudahan pendidikan berkualiti dan percuma, pilihan raya bersih dan adil, negeri hijau dan bersih, lebih royalti minyak dan balak, hak tanah adat dan pembangunan insfrastruktur.



Pengerusi Penganjur Himpunan Sabah Bangkit, Harieyadi Karmin ketika berucapan menyatakan GEGAR diketuai anak muda Sabah, malah hampir semua ahli jawatankuasa terdiri daripada anak muda dan mahasiswa.

Katanya, mereka mahu menyampaikan mesej kepada pemerintah bahawa anak muda kini tidak lagi hanya tahu berseronok, duduk diam dan melihat.

“Anak muda mahukan perubahan. Marilah kita bersama-sama menunjukkan solidariti menuntut hak kita. Tunjukkan kita memang benar-benar mahukan perubahan.



“Kita mahu tunjukkan kepada pemerintah, rakyat bukan tunggul yang hanya diam apabila hak mereka tidak diberi. Kita mahukan perubahan, bukan lagi janji kosong yang ditabur,” katanya.

Beliau berkata, GEGAR memberi amaran kepada pemerintah bahawa rakyat adalah pemegang kuasa dalam sistem demokrasi.

Antara penceramah ialah juruakap Bersih Sabah, Andrew Ambrose dan beberapa wakil dari mahasiswa, anak muda dan parti politik dari Pakatan, selain SAPP.

Peserta juga memungut sampah disekitar Red Square, Taman Chong Thien Vun setelah usai perhimpunan.

Tiada ulasan: