Rabu, 30 Januari 2013

Himpunan #KL112: Polis cari 14 saksi

SINAR HARIAN

Himpunan #KL112 yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Himpunan #KL112 yang berlangsung di Stadium Merdeka Januari lepas.
 
KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengedarkan gambar 14 saksi bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh penganjur perhimpunan di ibu negara 12 Jan lepas yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dalam perhimpunan itu.
  
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata keterangan 14 saksi itu penting bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung pelanggaran syarat
oleh penganjur perhimpunan tersebut.
  
"Kita minta saksi yang gambar mereka telah kita siarkan agar tampil segera bagi membantu pihak polis. Perbuatan membawa kanak-kanak di bawah usia 15 tahun adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
  
Mohmad berkata jika disabit kesalahan melanggar syarat itu, penganjur boleh dihukum denda maksimum RM20,000 mengikut Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
  
Beliau berkata 14 saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Tony Lunggan di talian 014-6225262 atau 03-90516222 atau tampil di mana-mana balai polis.

Katanya, orang ramai yang mengenali 14 saksi yang gambar mereka diedarkan melalui media dan lama Facebook itu, boleh memberikan maklumat kepada polis atau memaklumkan di balai polis berhampiran.
  
Sementara itu, Mohmad berkata polis memburu enam suspek berumur 24 hingga 35 tahun berhubung kes serangan ke atas seorang lelaki di Flat Sri Johor di Cheras di sini, awal pagi semalam.
  
Katanya dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa berumur 25 tahun telah diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika dia sedang menggunakan telefon awam.
  
"Siasatan awal kita mendapati suspek telah menunggu mangsa di dalam dua buah kereta sebelum bertindak menyerang mangsa. Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada dendam di antara dua kumpulan kongsi gelap," katanya.

Katanya mangsa kini dirawat di sebuah pusat perubatan kerana mengalami kecederaan parah akibat ditetak di bahagian kepala dan telinga kiri.
  
"Mangsa kini dilaporkan stabil namun terpaksa menerima 158 jahitan di bahagian kepala dan telinga," katanya.  - Bernama

Tiada ulasan: