Jumaat, 11 Januari 2013

Himpunan #KL112 ada kesan ke atas PRU13, kata penganalisis

MALAYSIA CHRONICLE


FOKUS BERITA - Jika salah gaya dan percaturannya, kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan Sabtu ini bakal memberi kesan buruk kepada kedua-dua parti - pembangkang dan kerajaan, yang akan diterjemahkan menerusi peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata seorang penganalisis politik, Dr Jeneri Amir.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Sarawak ini, keadaan seumpama itu akan berlaku sekiranya terjadi insiden yang tidak diingini seperti berlakunya pelanggaran kuasa oleh pihak polis atau pun kebiadapan dilakukan oleh peserta himpunan tersebut yang boleh menimbulkan kebimbangan dan kemarahan awam.

"Apabila polis bertindak ganas, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dan begitulah sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian Online.

Meskipun begitu katanya, faktor itu juga bergantung kepada sejauh mana media memainkan peranan dalam melaporkan senario pada hari himpunan itu nanti.

"Kalau liputan itu meluas, dan platform itu digunakan sebaik mungkin oleh pemimpin Pakatan, saya rasa sedikit sebanyak ia akan memberi kesan sekurang-kurangnya kepada isu-isu semasa yang berbangkit.

"Tetapi semua isu ini yang dilihat relevan mencakupi isu-isu politik, ekonomi, ketelusan dan tadbir urus yang baik ini mesti dieksploitasikan seluas mungkin melalui Pakatan ini nanti," ujar beliau sambil menambah, pihak polis juga nanti akan disalahkan dan dikatakan melanggar kuasa jika menangani perhimpunan itu dengan cara yang disifatkan salah di mata mereka.

Mengulas lanjut, Jeneri berpendapat, kerajaan dan polis seharusnya membenarkan himpunan itu manakala pihak penganjur serta peserta harus mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan supaya himpunan yang disifatkan sebagai aman itu dapat direalisasikan.

"Pihak kerajaan dan polis khususnya perlu memberi ruang sesuai dengan akta yang diluluskan tetapi di pihak peserta himpunan itu mereka perlu menjaga adab dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak polis. Ini tidak harus digunakan untuk menyerang dan sebagainya kerana akhirnya kesannya buruk kepada kedua-dua belah pihak," jelas beliau lagi.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat, #KL112, Mohamad Sabu sebelum ini berkata, himpunan berkenaan menyasarkan sejuta rakyat Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka secara aman antara jam 2 hingga 5 petang.

Difahamkan himpunan #KL112 bertujuan untuk mendesak kerajaan memenuhi beberapa tuntutan rakyat seperti yang digesa oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menghentikan pemusnahan dan pencemaran alam sekitar, membebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyediakan pendidikan percuma, menyelamatkan Felda dan menuntut royalti petroleum dibayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Sementara itu seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain pula berkata, melalui perhimpunan ini, pembangkang mahu membuktikan bahawa perikatan itu masih relevan dan diterima baik oleh masyarakat di Malaysia.

"Saya ingat ia untuk memberitahu di saat akhir kepada penyokong-penyokong pembangkang ini, strategi yang akan mereka lakukan dan amanat penting akan diberikan kepada penyokong.

"Selain daripada itu mereka ingin menunjukkan kekuatan barisan pembangkang ini dan masih lagi disokong atau masih lagi mendapat tempat di hati penyokong bahawa Pakatan Rakyat ini masih relevan dan menjadi pencabar utama kepada Barisan Nasional," ujar beliau.

Pada masa yang sama, katanya, kesempatan himpunan ini juga akan digunakan oleh perikatan pembangkang untuk membuat pencerahan kepada perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Barisan Nasional kepada penyokong mereka.

Beliau juga menyifatkan ajakan Mohamad, yang turut dikenali sebagai Mat Sabu supaya rakyat yang marahkan kerajaan turun beramai-ramai pada Sabtu ini hakikatnya sudah berjaya "dilunakkan hati" mereka oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Saya setuju jika yang turun pada 12 Januari ini hanyalah pengikut tegar, sebilangan sahaja yang marah kepada kerajaan," ujarnya.

Ahmad Atory kemudiannya dengan nada sinis menyelar pihak pembangkang dan penyokong tegar ini yang masih belum berpuas hati dengan ruang kebebasan yang diberikan kepada mereka selama ini.

"Tapi tak apalah kalau ada lagi saki-baki kemarahan itu bolehlah dihamburkan, boleh dilepaskan. Saya minta pihak pemerintah jangan lah dihalang, biarkan.

"Dalam zaman globalisasi, zaman media, zaman internet, pada saya memang tidak ada apa-apa halangan kecuali dengan syarat kena ada permit.

"Kalau selama ini media massa, blogger dianggap tidak cukup lagi untuk menyatakan perasaan marah melalui blogger, internet, Twitter, Facebook dan sebagainya, melalui Harakah dan apa sahaja, dengan akhbar Sinar Harian, Kosmo! misalnya, saya ingat dengan adanya perhimpunan 12 Januari ini, boleh dianggap pencukup atau pun penggenap kepada segala macam yang tak cukup itu," bidasnya.-sinarharian.com

Tiada ulasan: