Rabu, 9 Januari 2013

Gagal siap Puspahanas, Kementah patut gugur Awan Megah – Rafizi

Oleh Sidiqin Omar

PETALING JAYA : Kementerian Pertahanan (Kementah) patut gugurkan Awan Megah Sdn Bhd kerana gagal menyiapkan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) pada Januari 2011 mengikut jadual.

“Mengikut jadual yang didaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), tarikh mula ialah pada 25 September 2008 dan siap pada 24 Januari 2011.

“Tinjauan ke tapak pembinaan Puspahanas di Precint 1, Putrajaya menunjukkan hanya dua dari 12 bangunan utama sedang dibina,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

“Menurut maklumat sub-kontraktor pembinaan, kerja-kerja hanya bermula pada Ogos 2011,” tambahnya memaklumkan, ia tidak sampai sepuluh peratus dari keseluruhan projek.



Jelas Rafizi, syarat bon tanah bernilai RM72.5 juta oleh Kementah sebagai jaminan projek siap mengikut tempoh perlu dicairkan sebagai ganti rugi, namun tidak dilakukan.

“Tempoh bon tanah luput pada 3 Februari 2011. Persoalannya, adakah Awan Megah menyediakan bon tanah baru. Mengapa Kementah tak gunakan haknya mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah kerana kegagalan projek?

“Mengapa Kementah tidak menggugurkan Awan Megah sedangkan terbukti syarikat ini tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk menyiapkan projek,” soal Rafizi.

Katanya, ini adalah bukti keputusan bayaran RM130 juta kepada Asta Canggih dan Awan Megah bukan berasaskan pertimbangan komersil, tetapi bermotif politik untuk menutup mulut pemiliknya, Deepak Jaikishan dan Raja Ropiaah Raja Abdullah.

Sehubungan itu, satu laporan dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa petang ini di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam.

Tiada ulasan: