Rabu, 16 Januari 2013

Fenomena “ZA1M”, BN curi minyak, minum minyak, makan pun minyak

Oleh Tengku Zulpuri Shah Raja Puji



SUARA rakyat menuntut hak dan keadilan menggegarkan takhta BN di Putrajaya setelah Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 berlangsung gilang-gemilang dan bersejarah di Stadium Merdeka. Kita tidak tahu apa dan bagaimana kerajaan BN yang dikepalai Datuk Seri Najib Razak berhadapan dengan episod baru kemaraan rakyat yang semakin berani ini.

Daripada tuntutan pilihan raya yang telus, pendidikan percuma, pembebasan tahan ISA, tuntutan hak air, Felda dan royalti petroleum, ia sudah cukup menggambarkan kemelut dan betapa kucar-kacirnya pentadbiran kerajaan BN selama memerintah negara.

Selaku Timbalan Pengerusi DAP Pahang merangkap Timbalan Pengerusi ‘R’ Pahang, saya mengira, pengumuman Perdana Menteri Najib Razak untuk memberikan Wang Ehsan sebanyak RM100 juta setahun kepada Negeri Pahang pada suku ketiga tahun 2014 setelah penemuan rizab minyak tambahan di Bertam (Block PM307) adalah tidak bertanggungjawab dan tidak adil.

Sudah tentu, sebagai anak jati negeri Pahang yang berdaulat, pemberian ‘sedekah’ wang ehsan lima peratus oleh kerajaan persekutuan BN ini amat tidak wajar dan bertentangan seperti yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum 1975.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 17,500 sehingga 20,000 tong sehari, Negeri Pahang berhak mendapat sekurang-kurangnya RM383 juta setahun dari Block PM307 ini.

Najib ‘pening’ atau rahsia bocor?

Pengumuman Najib untuk memberi RM100 juta wang ehsan melalui hasil Block PM307 telah menimbulkan persoalan yang besar. Hasil penyelidikan Kumpulan ‘R’ (Royalti) Pahang, kita dapati Block PM307 rupa-rupanya berada 100 peratus dalam perairan Negeri Terengganu.

Mengapa kerajaan BN menyembunyikan penemuan Block PM308 yang mana enam kali ganda lebih besar daripada Block PM307? Apa muslihat Najib? Mengapa dia berbuat demikian? Mungkinkah beliau tersalah hitungan? Apa mungkin Najib sedang menguji rakyat?

Block PM308 yang sebenar-benarnya berada di perairan Pahang terdiri daripada empat telaga minyak iaitu Telaga Batu Hitam, Telaga Janglau, Telaga Ara dan Telaga Merawan Batu.

Mengikut kalkulator pengiraan ‘R’, kita dapati Pahang boleh menerima wang royalti lebih daripada RM2.2 bilion setahun. Daripada jumlah itu, lambakkan hutang kerajaan negeri yang ditimbunkan Menteri Besar Adnan Yaakob berjumlah sekitar RM2.7 bilion dapatlah diselesaikan dalam tempoh lima tahun sahaja.

  Zalim 1Malaysia (ZA1M)

Pasca Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 diharap dapat menyedarkan rakyat Malaysia dan BN sendiri akan betapa lemahnya pentadbiran persekutuan selama ini yang dipenuhi najis rasuah dan penyelewengan harta negara.

Lihatlah kezaliman yang dilakukan terhadap Negeri Kelantan. Bertahun-tahun hak rakyat dinafikan. Minyak mereka ‘dicuri’. Kelantan hanya memperoleh wang ehsan sebanyak RM25 juta walaupun ‘kecurian’ minyak milik negeri itu berlaku sejak 2003.

Jika dibuat perhitungan sebenar, Kelantan sudah selayaknya mendapat royalti lebih daripada RM10.4 bilion.

Apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak saling tak tumpah dengan apa yang berlaku di Semenanjung. Negeri Pantai Barat Malaysia itu turut dizalimi dan dinafikan hak oleh Kerajaan Persekutuan BN. Inilah fenomena Zalim 1Malaysia (ZA1M) yang berlaku di seluruh negara kini.

Sampai bilakah hak negeri dan rakyat akan terus dinafikan BN? Sampai bilakah hasil-mahsul bumi Malaysia ini akan terus dirompak algojo-algojo yang rupanya bertopengkan Melayu dan Islam? Sampai bilakah rakyat harus menanggung beban hidup akibat penyelewengan dan penafian hak ini?

Selagi tidak berlaku perubahan kerajaan di peringkat persekutuan. Kita yakin, BN tidak akan berubah kerana mereka sudah lama mengamalkan tradisi ‘sapu-menyapu’, kronisme dan monopoli melampau. Ia telah pun menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

Bagaimanapun, survival politik BN khususnya UMNO kelihatan semakin terancam dan melemah dengan kebangkitan rakyat. Samada kita merubah atau kita akan diubah; ia bergantung kepada sejauh mana komitmen kita sebagai rakyat dan Pakatan Rakyat berusaha keras menumpaskan segala kebejatan kerajaan korup BN yang memerintah kini.-Roketkini.com

Tiada ulasan: