Khamis, 31 Januari 2013

Buru peserta HKR bawa anak, polis ikut telunjuk Umno

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPURn: ‘Kepantasan’ polis mengenal pasti peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu yang membawa kanak-kanak sepatutnya diamal apabila memburu penjenayah.

Demikian sinis Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua membidas tindakan polis dilaporkan
mengeluarkan 14 gambar ibu bapa yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke HKR di Stadium Merdeka.

“Ini hanya tindakan terdesak kerajaan dengan mengerahkan polis sebagai orang suruhan. Umno BN tidak akan senang hati melihat rakyat berkumpul di HKR.



“Membawa anak-anak mereka adalah hak ibu bapa. Tapi kenapa perhimpunan BN tidak pernah menyatakan larangan bawa kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau mempersoal sikap kerajaan yang memberi jaminan bahawa perhimpunan HKR adalah aman dan selamat, tetapi menghalang kanak-kanak hadir.

“Kalau sudah beri jaminan, kenapa timbul pula isu tidak boleh bawa kanak-kanak. Saya kesal sikap polis yang sibuk mengejar isu ini berbanding soal keselamatan orang awam.

“Hasil daripada tangkapan atau denda tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada polis.  Ini semua muslihat politik Umno sahaja,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Polis hari ini dilapor mengeluarkan gambar mereka terbabit yang didakwa membawa kanak-kanak ke himpunan itu.

Menurut polis, perbuatan itu melanggar Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman denda maksimum RM20,000 di bawah PAA, dan denda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Kanak-kanak.

Tiada ulasan: