Umat Islam perlu meyakinkan diri sendiri serta masyarakat bukan Islam di negara ini bahawa undang-undang Islam adalah adil dan saksama, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau berkata sayangnya hari ini umat Islam Malaysia begitu cuai dan alpa sehingga mengabaikan khazanah berharga yang diwarisi daripada para ulama Islam dan cendekiawan ilmu perundangan Islam.

"Kita harus mempelajari undang-undang Islam ini dan berikhtiar serta berjihad, jika perlu, untuk menjadikan undang-undang Islam itu undang-undang kebangsaan di Malaysia," kata Ahmad Fairuz, yang merupakan Ketua Hakim Negara pada 2003 hingga 2007.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dihadiri kira-kira 1,200 peserta di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata beberapa langkah telah pun diambil Jabatan Syariah, Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) untuk memartabatkan Islam di negara ini.

Serentak dengan itu juga, beliau berkata Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa turut ditubuhkan dengan tujuan menyiapkan para penuntutnya untuk menerima dan mengemukakan undang-undang Islam sebagai undang-undang asas bagi umat Islam di negara ini.

"Tetapi ini adalah langkah permulaan sahaja dan banyak lagi langkah harus diambil untuk menghilangkan buruk sangka terhadap undang-undang Islam dan mengiktiraf serta menghormati undang-undang Islam di Malaysia.

"Undang-undang di negeri barat dengan secara langsung ataupun tidak, dan dengan diketahui atau tidak, telah banyak mengambil dan meniru undang-undang Islam. Di England sendiri, banyak pembaharuan telah dibuat yang membawa undang-undang itu (Common Law) lebih dekat dengan undang-undang Islam," katanya.

Ahmad Fairuz, yang juga Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata malangnya, di Malaysia sehingga hari ini kerap kali mencontohi pembaharuan undang-undang yang berlaku di England sungguhpun peruntukan yang setanding dengan undang-undang berkenaan atau yang lebih baik boleh dirujuk daripada undang-undang Islam.

"Kita sebagai orang Islam di Malaysia haruslah menyesuaikan diri dan menguatkan iman kita supaya layak menerima undang-undang Islam dan selepas itu bolehlah kita cuba memujuk jiran-jiran kita (masyarakat bukan Islam) di negara ini untuk bersama-sama menerimanya," katanya.

Ahmad Fairuz, dalam ucapannya turut memetik Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaldin dalam rencananya yang merujuk kepada kenyataan bekas pensyarah undang-undang Dr Aziz Bari yang dilapor sebagai berkata bahawa Malaysia bukanlah negara sekular.

Kenyataan Aziz itu berbunyi: "Pada hakikatnya kita boleh mengatakan bahawa negara ini telah disyahadahkan dengan kalimah Islam sebagaimana tertulis dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah agama persekutuan sekaligus telah membatalkan ciri-ciri sekularnya. Dan kemudian terpulang kepada kita untuk mengisi kerangka itu dengan apa yang dituntut oleh Islam."

Merujuk hal sama, Ahmad Fairuz berkata Perkara 3 (1) adalah kekuatan bagi umat Islam Malaysia kerana Islam termaktub sebagai agama persekutuan dan dalam masa sama agama lain boleh diamalkan selagi selari dengan prinsip keamanan dan kedamaian.

"Walau bagaimanapun, penganut agama lain mesti sedar bahawa agama mereka bukanlah agama persekutuan. Jadi berhati-hatilah membuat tuntutan kesamarataan.

"Perkara 3 (1) telah menjelaskan bahawa Islam itu agama persekutuan, mana boleh nak samarata?" katanya.

Memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden Umno bertemakan 'Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional' pada Perhimpunan Agung Umno 2012, Ahmad Fairuz berkata umat Islam di negara ini sepatutnya beruntung kerana mempunyai kerajaan yang komited mempertahan dan memperkembang syiar Islam.

"Ini adalah jaminan daripada parti pemerintah untuk terus memperjuangkan Islam. Saya tak tahulah kalau parti lain yang memerintah (apa yang akan dilaksanakan)," kata Ahmad Fairuz.

Najib pada 29 Nov lepas berkata Umno komited untuk terus meninggikan martabat Islam berteraskan maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.

Najib berkata Umno, tanpa berbasa-basi, menegaskan bahawa parti itu, yang menjadi tunjang kerajaan Barisan Nasional, menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendukung fahaman pluralisme mahupun liberalisme.- Bernama