Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) KS Bawani menegaskan video konfrantasinya dengan Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, bukan dimuatnaik olehnya atau parti pembangkang.

Sebaliknya, dakwa beliau, ia dimuatnaik oleh TvMyMahasiswa dan SW1M, menyebabkan video tersebut menjadi popular dan meletup hingga hari ini.

"Tindakan kedua pihak ini yang menyebabkan video ini hari ini menjadi begitu sensasi atau mencemarkan nama universiti.

"Saya tidak mencemarkan nama baik UUM dan saya hanya bercakap benar dan saya percaya itu tanggungjawab saya sebagai mahasiswa dan anak muda untuk membawa suara mahasiswa," kata Bawani.

Beliau menjawab kenyataan Naib Canselor Datuk Mohamed Mustafa Ishak yang dilapor berkata dakwaan Bawani bahawa mahasiswa tiada kebebasan bersuara dan dipaksa menghadiri forum itu, adalah "satu pembohongan dan menasihatkannya supaya tidak mewujudkan tekanan awam yang boleh mencemarkan imej UUM".

Bercakap dalam sidang media di ibu negara hari ini, Bawani menegaskan bahawa beliau tidak mereka-reka cerita berhubung mahasiswa dipaksa hadir ke forum itu, sebaliknya ia merupakan maklumbalas daripada pelajar yang hadir.

"Buktinya saya pernah hantar dalam laman facebook UUMKINI pada 8 Disember 2012 tentang ketidakpuasan saya tentang forum ini, di situ ramai pelajar UUM yang memberi pandangan bahawa DPP mereka mewajibkan mereka hadir, pelajar tahun satu diwajibkan hadir dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui universiti tidak mengeluarkan surat rasmi mengarahkan semua pelajar diwajibkan hadir.

Mengulas lanjut, Bawani yang juga aktivis NGO JERIT berkata beliau bersetuju versi penuh video tersebut dimuatnaik supaya semua pihak dapat membuat pernilaian berhubung insiden tersebut.

"Saya difahamkan video versi penuh ada dimuatnaik tetapi telah diedit. Saya berharap versi penuh tanpa diedit termasuk video klip yang ditunjukkan kepada mahasiswa diupload supaya rakyat boleh membuat pertimbangan dan penilaian," katanya.