Khamis, 24 Januari 2013

Anwar mungkin lepaskan kerusi Permatang Pauh

THE MALAYSIAN INSIDER

Anwar tidak memberitahu kawasan yang beliau maksudkan untuk ditandinginya sebagai alternatif kepada kerusi tradisinya. – Gambar fail
 
SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan kerusi parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuatnya semenjak pertama kali menyertai pilihan raya pada tahun 1982 pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.

“Insya Allah, saya akan bertanding, tetapi kemungkinan besar saya masih diminta untuk pertimbangkan satu dua kawasan lain,” katanya dipetik dari akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian.

Apabila ditanya apakah beliau akan bertanding di kerusi parlimen Lembah Pantai yang kini disandang oleh anaknya Nurul Izzah Anwar, beliau menafikan spekulasi itu.

“Kenapa pula Lembah Pantai? Tiada pula saya dimaklumkan,” katanya.

Ketua Umum PKR itu walaubagaimanapun tidak memberitahu kawasan yang beliau maksudkan untuk ditandinginya sebagai alternatif kepada kerusi tradisinya Permatang Pauh.

Anwar menyertai Umno pada tahun 1982 diatas undangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada pilihan raya tahun yang sama, beliau buat pertama kalinya bertanding di kerusi Permatang Pauh dan berjaya menewaskan calon PAS Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi.

Pilihan raya tahun 1986 pula menyaksikan Anwar berjaya mempertahankan kerusi tersebut selepas menewaskan calon PAS pada ketika itu Mohamad Sabu dengan majoriti lebih kecil berbanding sebelumnya dengan hanya mendapat 10,479 undi.

Anwar terus mempertahankan kerusi Permatang Pauh dalam pilihan raya tahun 1990 dan 1995 sebelum dipecat pada tahun 1998 daripada jawatan timbalan perdana menteri, menteri kewangan dan ahli Umno oleh Dr Mahathir.

Pada pilihan raya 1999, Anwar merengkok dalam penjara diatas pertuduhan salahguna kuasa, isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding menggantikannya dan menang termasuklah dalam dua pilihan raya berikutnya pada tahun 2004 dan 2008.

Pada tahun 2008, Dr Wan Azizah melepaskan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada Anwar untuk masuk semula ke parlimen Malaysia sebagai Ketua Pembangkang selepas menang dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon AKIM Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.

Pilihan Raya 2013 perlu diadakan selepas mandat kerajaan tamat pada akhir April.

Ia dianggap sebagai ibu segala pilihan raya oleh kerana buat pertama kalinya, BN akan berhadapan dengan pembangkang kuat, Pakatan Rakyat (PR) yang kini menguasai beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Tiada ulasan: