Sabtu, 19 Januari 2013

Ambiga: #KL112 aman kerana polis, bukannya APA

RUZY ADILA IDRIS

ambiga
Ambiga
 
SHAH ALAM – Kejayaan Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu lalu  antara lain kerana sikap polis yang jauh lebih baik berbanding masa-masa lalu, dan bukannya keberkesanan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 seperti didakwa beberapa pihak.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga berkata, akta itu telah pun berkuat kuasa semasa Himpunan Bersih 3.0 yang diadakan April lalu, namun masih terdapat masalah.

“Perbezaan utama kali ini memang disebabkan oleh sikap polis itu sendiri dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka.

“Tidak syak lagi, akta ini turut membantu untuk mengubah minda polis dan menjadi yang baik. Malah, tanpa kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), tiada meriam air dalam Himpunan #KL112 turut membantu kelancaran himpunan itu,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Ambiga mengetuai Himpunan Bersih 2.0 pada Julai 2011 dan Himpunan Bersih 3.0 April 2012.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan Himpunan #KL112 menjadi testimoni kepada keberkesanan penguatkuasaan APA 2012 dan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pembangkang bahawa ia merupakan satu bukti semua pihak tidak kira pihak berkuasa mahu pun penganjur mematuhi peruntukan serta semangat akta itu.

"Pendek kata, apa yang berlaku menunjukkan bahawa islah dan pembaharuan kepada apa yang kita lakukan adalah tepat sekali.

"Terima kasih kepada pembangkang walaupun saya tak bersetuju dengan mereka, kerana telah menghormati semangat akta itu," kata Najib dalam komen pertamanya selepas #KL112.

Mengulas perkara sama, Ambiga menambah, walaupun negara mempunyai undang-undang, namun bagaimana cara pelaksanaan undang-undang itu yang akan menunjukkan perbezaannya.

Peguam itu menambah, rakyat yang merupakan peserta himpunan tersebut selayaknya menerima kredit atas kejayaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Perkara inilah yang sering kita katakan sebelum ini. Tetapi kita jangan sesekali lupa, lebih 900 kanister gas pemedih mata telah ditembak pada rakyat dan meriam air dalam Bersih 3.0.

“Perbezaannya di antara Bersih adalah FRU tidak dibawa ke dalam Himpunan #KL112,” katanya lagi.

Malah tambah Ambiga, beliau turut tidak bersetuju dengan akta itu kerana ia melarang protes jalanan.

“Jangan lupa terdapat lain-lain perhimpunan aman oleh Himpunan Hijau dan Pemuda Umno. Kesemua himpunan itu bermula aman sebelum pihak polis datang menghalang," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan yang mengatakan kejayaan Himpunan #KL112 disebabkan namanya 'Himpunan Aman' dan bukannya Bersih, Ambiga tidak bersetuju dengan tanggapan sedemikian.

Tegas beliau, “perhimpunan Bersih sentiasa satu perhimpunan yang aman sehingga pihak polis yang memulakan tindakan ganas."

Tiada ulasan: