Khamis, 3 Januari 2013

Agihan kerusi: MCA sedia tolak ansur

Wartawan Sinar Harian

Datuk Dr Wee Ka Siong
Datuk Dr Wee Ka Siong
 
PUTRAJAYA - MCA bersedia bertolak ansur dan melepaskan kerusi tradisi yang ditandinginya kepada parti komponen lain jika cara itu menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Pemuda MCA, Datuk  Dr Wee Ka Siong berkata, secara umumnya, kerusi yang sedia ada secara tradisi akan diteruskan, tetapi ia terserah kepada keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku percaturan sama ada pengurangan atau pertambahan kerusi sedia ada.

“Tidak semestinya bertukar dan kemungkinan akan berlaku pertambahan, ini secara logiknya. Saya tidak boleh katakan sekarang. Jika MCA mempunyai peluang, kita ada kekuatan, mengapa tidak.. begitu juga keadaannya dengan parti lain.

“Itu terpulang kepada pucuk pimpinan untuk tambah atau tukar dan bergantung kepada keadaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, marginal adalah perkara yang perlu diperhalusi untuk menang dan yang lebih penting untuk mempertahankan mandat dan kuasa pemerintahan BN.

Pada PRU 2008, MCA menang 15 kerusi Parlimen daripada 40 kerusi yang ditandingi.

Sebelum ini Soi Lek juga menyatakan kesediaan parti itu untuk melepaskan kerusi tradisi yang ditandingi kepada parti komponen dan tidak akan menuntut mana-mana kerusi jika parti itu tidak berpeluang menang.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, MCA kini telah 95 peratus bersedia menghadapi PRU yang akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, MCA tidak terjerat dengan keyakinan melampau, meskipun optimis BN mampu menawan kembali negeri-negeri yang kalah.

“Itu komitmen kami untuk kekalkan kerusi sedia ada,” katanya.

Tiada ulasan: