Selasa, 15 Mei 2012
Umno sedia bermuzakarah bersama PAS - Rais
KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan Umno bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan PAS demi masa depan masyarakat Melayu dan agama Islam.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang ditemui menyifatkan peluang untuk bermuzakarah antara parti itu merupakan saat yang dinanti-nantikan demi kepentingan kaum majoriti di negara ini.
Bagaimanapun katanya, usaha untuk mengadakan perbincangan sering dibatalkan pada saat-saat akhir oleh pemimpin PAS kerana ianya sering disalah ertikan selain mendakwa usaha tersebut adalah sia-sia.
"Dulu pemimpin UMNO sangat menunggu-nunggu muzakarah, perbincangan atau pertemuan biasa tapi saat akhir pemimpin PAS kata tidak perlu demi ummah.
"Saya fikir jawapan dulu tidak betul kerana ia dijawab dalam keadaan angkuh. Yang penting sekarang menyedari ummah itu terdiri dalam golongan yang ramai justeru kita perlu cari jalan untuk tentukan ke mana kita selepas ini," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ikon Membaca Kebangsaan dan Penyemarakan Kempen Nilai Murni 1Malaysia di Perpustakaan Negara Malaysia, di sini, petang tadi.
Beliau turut yakin PAS tidak akan bersama DAP dalam jangka masa panjang kerana prinsip perjuangan kedua-dua parti itu jelas bertentangan sejak bergabung.
Katanya, apa yang lebih penting kepimpinan yang diterajui Musyidul Am Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat perlu segera mengadakan perbincangan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kerana kedua-dua pemimpin itu mewakili sebilangan besar masyarakat Melayu beragama Islam.
"Tentu skali PAS tidak bersama Karpal Singh atau Lim Kit Siang untuk jangka masa panjang. Saya kira bermesyurat dgn Najib lebih afdal dari kira amalan agama dan pengiktirafan ummah.
"Itu terjawab. Pemimpin PAS harus terima hakikat bahawa mereka orang Melayu dan orang Islam, kenapa tidak berunding dan tidak bercakap," katanya lagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan