Khamis, 17 Mei 2012

Tiada maklumat visa umrah dibekukan

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR  - Jabatan Perdana Menteri sehingga kini tidak menerima sebarang maklumat berhubung pembekuan visa umrah oleh Kerajaan Arab Saudi ekoran tindakan sekumpulan rakyat Malaysia yang mengadakan perhimpunan haram Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah pada 28 April lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim  berkata, jika ada rakyat Malaysia yang mendakwa visa umrah mereka dibekukan kerajaan negara itu, ia berkemungkinan disebabkan syarikat atau agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah itu mengalami masalah dengan kerajaan Arab Saudi.

"Bagi urusan mendapatkan visa umrah, hanya agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah yang diberikan hak untuk menguruskan visa bagi rakyat Malaysia. Namun kita belum menerima apa-apa maklumat tentang pembekuan visa umrah oleh kerajaan Arab Saudi disebabkan Bersih 3.0 sehingga kini.

"Jika ada masalah pembekuan visa umrah, ia mungkin disebabkan agensi itu tidak berhubung atau ada masalah dengan Kerajaan Arab Saudi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas rungutan seorang rakyat Malaysia yang disiarkan di sebuah blog http://bumiyang.blogspot.com hari ini yang mendakwa visa umrah telah dibekukan sementara waktu oleh kerajaan Arab Saudi sehingga menyebabkan perjalanannya terpaksa ditunda gara-gara perhimpunan Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah..

Tiada ulasan: