Selasa, 22 Mei 2012

Terbang sebelum maut

NORAIZURA AHMAD

Terbang sebelum maut
Kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa remuk selepas dirempuh Toyota Innova dari belakang, awal pagi semalam.
 
PUTRAJAYA - Seorang lelaki ‘terbang’ dan maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan serba guna (MPV) di Kilometer 22.3, Lebuh Raya Maju, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berumur 27 tahun, memandu kereta jenis Perodua Kancil, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

Setibanya di lokasi, kenderaan mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Innova dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, impak rempuhan itu menyebabkan kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali dan terbabas.

“Mangsa tercampak keluar dan maut dipercayai akibat kecederaan parah di kepala serta anggota badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya.

Imran berkata, pemandu MPV, berumur 40 tahun hanya cedera ringan.

Menurutnya, siasatan awal mempercayai kereta MPV itu dipandu laju dan hilang kawalan­ sebelum merempuh kereta mangsa.

“Kita akan merakamkan keterangan pemandu MPV itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hubungi balai polis berdekatan­ bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: