SHAH ALAM: Kemampuan Pakatan Rakyat Selangor menarik pelabur luar terbukti apabila terbaru, syarikat pemaju gergasi dari China, Sun Lohas Group Limited (Sun Lohas) pula melabur dalam pembangunan hartanah yang bernilai RM8 bilion di Bestari Jaya.
Projek pembangunan-eko di kawasan seluas 4,976 ekar di Bestari Jaya itu dinamakan ‘Sun Lohas City’ atau Bandaraya Sun Lohas.
Menurut Pengerusi Sun Lohas, Chen Ping dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Sun Lohas dan syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), projek pembangunan itu bakal memiliki gabungan beberapa ciri unik.
“Cadangan ‘Bandaraya Sun Lohas’ akan dibangunkan dengan konsep revolusi kehidupan dengan struktur mengintegrasi manusia, alam sekitar, kebudayaan dan bandaraya.
“Sun Lohas teruja dengan peluang yang ditawarkan dan bertekad untuk membangunkan Bestari Jaya sebagai Bandaraya Lestari,” kata Chen.
Chen berkata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok telah memainkan peranan memperkenalkan Selangor sebagai distinasi pelaburan kepada Sun Lohas.
Chen memberitahu, projek pembangunan yang dijalankan di atas tanah milik KHSB itu dijangkakan siap dalam 10 tahun.
Projek pembangunan tersebut akan mempromosikan kebudayaan hijau dengan nilai tinggi, tenaga rendah dan pencemaran sifar.
Pembangunan Bandaraya Sun Lohas itu turut dibina dengan tiga lapisan menggabungkan bandaraya muhibbah, bandaraya hijau dan bandaraya kreatif.
Ketiga-tiga lapisan melambangkan kecintaan sesama manusia, alam sekitar dan kebudayaan.
Bagi melestarikan konsep bandaraya hijau, seluruh cadangan pembangunan akan dibina berdasarkan pemeliharaan ekologi, kecekapan perancangan, mereka bentuk, pengangkutan, lanskap dan polisi tenaga.
Sun Lohas turut menawarkan pertanian moden berhampiran kediaman dan pusat pertanian kerjasama-eko untuk mempromosikan hasil tanaman.
Pengerusi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Raja Idris Raja Kamaruddin pula berkata, projek berkonsep pembangunan-eko itu dapat memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi negeri Selangor.
“Cadangan projek ini akan menawarkan peluang untuk pembangunan kemahiran di negeri Selangor terutama sekali bagi syarikat berkaitan kerajaan.
“Kemahiran yang boleh dibangunkan adalah dalam bidang kejuruteraan, pertanian, teknologi bangunan, pengurusan projek dan aspek-aspek lain dalam perancangan bandar serta pembinaan.
“Di samping itu juga, cadangan projek ini boleh memajukan kebolehan usahawan kecil dan sederhana dalam kontrak tempatan.
“Mereka juga boleh menyertai projek ini dalam bidang mereka berbentuk perundingan dan kejuruteraan serta kontrak pembinaan,” kata Raja Idris.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata Kumpulan Hartanah Selangor harus mengambil kesempatan dari projek usahasama yang dijalankan oleh kedua-dua syarikat tersebut.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan Kumpulan Hartanah Selangor merasa gembira dapat berkerjasama dengan Sun Lohas.
“Saya juga gembira apabila dapat melihat gabungan kretiviti, visi dan perancangan rapi yang dibuat oleh kedua-dua syarikat ini.
Dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi menandakan kerjasama petang tadi, Raja Idris menurunkan tandatangan bagi pihak KHSB dan Sun Lohas telah diwakili oleh Pengerusi, Chen Ping sambil disaksikan oleh Abdul Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan