Selasa, 15 Mei 2012

SU Agung: Pas buka pintu untuk jelas isu Islam

HASLINA KAMALUDIN

Datuk Mustafa Ali
 
Datuk Mustafa Ali
 
 
SHAH ALAM - Kesediaan Pas bermuzakarah untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah sebagai bukti parti itu masih berada di landasan sebenar dalam perjuangan politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, sesi yang akan dikendalikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi itu akan merungkai kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan mengatakan parti itu sudah terpesong daripada landasan sebenar perjuangannya.

“Dalam sesi itu, Pas akan menerangkan perjuangan kami yang mana ia masih sama, tidak seperti dakwaan beberapa pihak. Islam tetap menjadi keutamaan Pas.

“Kita tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana pihak. Bukan sahaja NGO, ia juga terbuka kepada mana-mana parti lain termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan seperti diusulkan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman.

“Penjelasan ini adalah bukti Pas masih sama dan tidak pernah berubah sejak awal penubuhannya. Mungkin ada pihak masih tidak faham dengan perjuangan Pas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sesi tersebut adalah medan terbaik untuk pihak luar mengetahui mengenai Pas dan Islam secara keseluruhannya.

“Dengan pelbagai tuduhan­ yang dilemparkan kepada Pas, sedikit pun tidak menggugat perjuangan kami, malah Pas tetap optimis dengan misi kami selama ini dan yakin perjuangan yang berlandaskan Islam masih utuh.

“Pihak-pihak terbabit boleh mendengar penjelasan, kemudian barulah boleh menilai,” katanya.

Tiada ulasan: