Rabu, 16 Mei 2012

Semoga Tunku Aziz terus berjuang untuk integriti, hak asasi dan kedaulatan undang-undang

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang berharap Senator Tunku Aziz Tunku Ibrahim akan sentiasa berjuang bersama walau berbeza wadah bagi mewujudkan Malaysia yang baru dan bersih yang berpegang kepada integriti, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, beliau akan menjadi orang yang pertama yang mengalu-alukan Tunku Aziz jika beliau (Tunku Aziz) mengubah pendiriannya untuk meletak jawatan sebagai Naib Pengerusi DAP serta keluar parti.

“Bagaimana pun saya hormati sepenuhnya keputusan beliau jika terus ingin meletak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau telah kenal baik dengan Tunku Aziz sejak beberapa dekad lalu sebagai seorang yang berpinsip dan berintegriti.

“Dan pandangan saya terhadap beliau masih tidak berubah sedikit pun, sebagaimana Tunku Aziz sendiri ketahui dalam tiga pertemuan kami baru-baru ini, dua di rumahnya dan yang ketiga di Parlimen.

“Jika terpaksa berpisah kerana perletakan jawatannya dari parti tidak dapat dielakkan, biarlah ia dalam keadaan yang paling terhormat dan bersopan, tanpa perlu ada persengketaan,” tambah beliau.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mengucapkan terima kasih kepada Tunku Aziz atas segala khidmat dan sumbangannya sebagai Naib Pengerusi DAP di samping menjadi Senator DAP yang pertama, mewakili negeri Pulau Pinang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: