Sabtu, 19 Mei 2012

Presiden MCA Akui Puak Ekstremis Akan Jejas Sokongan Cina

MSTAR ONLINE

KAMPAR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengakui kewujudan puak ekstremis Cina yang akan menggunakan isu tertentu dan menjejaskan sokongan kaum itu kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun katanya, puak ekstremis itu wujud dalam setiap kaum dan memainkan isu perkauman adalah langkah paling mudah untuk mendapat sokongan daripada kaum masing-masing.

Katanya, dasar BN yang memperjuangkan semua kaum juga boleh menjadi kelemahan kepada parti itu dalam meraih sokongan, memandangkan parti pembangkang seperti DAP menggunakan isu perkauman sebagai senjata.

"...dan untuk PAS adalah agama, PKR (Parti Keadilan Rakyat) biasanya berjumpa masyarakat Cina cakap apa yang Cina suka dengar, depan kaum Melayu cakap apa yang kaum Melayu suka dengar dan begitu juga dengan kaum India," katanya di sini Jumaat.

Beliau yang ditemui pemberita sebelum majlis dialog bersama badan bukan kerajaan diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pengaruh kumpulan ektremis Cina boleh menghalang kaum itu daripada memberi sokongan padu kepada kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

Dr Chua juga menempelak DAP yang didakwanya memberi gambaran palsu melalui siri ceramah bahawa masyarakat Cina sendiri kagum dengan kejayaan mereka meneraju pentadbiran Pulau Pinang dan modul itu boleh dipindahkan ke Putrajaya.

"Saya mengatakan ini satu pembohongan yang besar, saya katakan DAP sekadar menjadi 'maharaja' di Pulau Pinang sahaja, di negeri lain sekadar jadi exco, di pusat dia tidak akan jadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri, dia sekadar menjadi anggota pentadbiran sahaja, jemaah menteri," katanya.

"(Kononnya) sokong DAP segala masalah kaum Cina akan diselesaikan, itulah DAP dan lebih-lebih lagi dia ada pemimpin yang pakai 'superman', kononnya DAP adalah 'political superman' yang boleh menangani segala isu yang dihadapi kaumCina," katanya.

Dr Chua berkata, semua orang tahu bahawa parti politik yang ada di Malaysia perlu bertolak-ansur dan mengambil kira hakikat negara ini mempunyai masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

"Tidak ada seorang pemimpin dijadikan 'superman' untuk satu-satu kaumtermasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebab itu beliau mencetuskan idea 1Malaysia di mana beliau menonjolkan dirinya sebagai pemimpin untuk semua kaum," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kelompok ekstremis tersebut adalah kecil.

"Saya fikir masyarakat Cina kebanyakannya mendapat pendidikan tinggi, mereka ada pandangan dan pemikiran masing-masing yang bukan senang dipengaruhi oleh segelintir yang ekstremis," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: