Ahad, 6 Mei 2012

PKR sedia bantu individu buruan polis semasa Bersih 3.0

 
 
PETALING JAYA— Ekoran tindakan pihak polis mengedarkan gambar 91 individu yang dikaitkan dengan keganasan sewaktu perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Sabtu lalu, PKR hari ini bersedia memberikan bantuan guaman kepada kumpulan individu tersebut.

Ketua AMK PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pihaknya telah sebulat suara untuk menyelaraskan kumpulan tersebut yang mana gambar mereka telah disebarkan media secara meluas, dan pihaknya juga menuntut pihak polis menyatakan kesalahan yang dilakukan kesemua individu terbabit.

“Dalam mesyuarat AMK hari ini, kami  bersetuju untuk menyelaraskan mereka yang dikeluarkan muka di media, yang mana gambar mereka telah dipaparkan dan menyediakan khidmat guaman kepada mereka ini.

“Kami angkatan muda PKR juga mendesak pihak polis untuk memaklumkan kepada rakyat kesalahan yang telah dilakukan kumpulan ini dan nyatakan secara terperinci peruntukan perundangan yang telah dilanggar mereka,” katanya merujuk kepada tindakan perusuh merobohkan halangan polis di Dataran Merdeka sewaktu perhimpunan tersebut.

Shamsul (gambar) juga menjelaskan, pihaknya yakin kesemua 91 individu tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Jelaskan undang-undang mana yang menyatakan melanggar halangan di dataran itu satu kesalahan.”

Polis telah mengedarkan gambar individu yang menjadi buruan kerana dipercayai menjadi dalang keganasan sewaktu perhimpunan Bersih 28 April lalu, namun tiada satu daripada mereka merupakan anggota polis.

Media antarabangsa melaporkan demonstrasi Bersih telah mencalarkan imej negara apabila polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perusuh.

Sehubungan itu, Shamsul menggesa kesemua individu terbabit supaya tampil memberikan kenyataan kepada pihaknya melalui alamat emel amkbersih428@gmail.com, atau boleh berhubung terus dengan AMK PKR di talian: 0126541415.

Perhimpunan Bersih 3.0 telah bertukar ganas apabila kumpulan perusuh mula merobohkan halangan yang dibina pihak berkuasa di sekeliling kawasan dataran bersejarah tersebut.

Pihak polis kemudiannya mula melepaskan gas pemedih mata ke arah perusuh bagi menyuraikan keadaan.
Penganjur perhimpunan itu tetap mempertahankan tindakan mermeka menuntut pilihan raya yang adil dan bersih akibat daripada kegagalan kerajaan melaksanakan pembaharuan terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

Namun begitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib menjelaskan perhimpunan Bersih 3.0 itu adalah satu cubaan pembangkang untuk menggulingkan kerajaan dan menurutnya, penganjur juga bercadang untuk menduduki kawasan dataran bagi tujuan tersebut seperti mana insiden di Dataran Tahrir di Mesir.

Tiada ulasan: