SHAH ALAM : Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat mengutuk keras pendakwaan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terhadap Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga serta ahli jawatankuasa Bersih.
Lebih mengecewakan, menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sehingga kini pihak polis masih tidak dapat memastikan pihak yang bertanggungjawab melakukan kerosakan namun tetap mengambil tindakan undang-undang dan tuntutuan kerugian daripada ahli jawatankuasa Bersih.
“Kecuali bagi kes adik Mohd Safuan Mamat yang dipukul sewaktu dalam usaha menyerah diri dengan sukarela, kes lain polis masih tiada kata putus.
“Jadi adalah tidak adil untuk mendakwa mereka ini dalam kes kerugian yang dialami polis dengan tuntutan sehingga RM 122, 000 atas 15 kenderaan polis termasuk dua trak yang rosak ketika perhimpunan.
“Kita juga tidak jelas bagaimana jumlah ini diperolehi kerana tiada saksi dari kedua belah pihak dan kemungkinan juga kerosakan itu sengaja dilakukan untuk mewujudkan kos kerugian yang besar,” jelas Dr. Wan Azizah dalam kenyataannya.
Mengulas lanjut, beliau menyarankan kerajaan pimpinan Najib untuk fokus kepada lapan tuntutan Bersih daripada sibuk mendakwa gerakan sivil rakyat.
“PKR mendesak Najib untuk memastikan segala sumber ditumpukan dalam usaha membersihkan sistem pilihanraya demi memastikan pilihanraya di Malaysia ini bersih dari sebarang penipuan.
“Kedua-dua Pengerusi dan Timbalan SPRM (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) juga seharusnya meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada muka-muka baru yang boleh bekerja dengan persatuan sivil dalam usaha menjadikan pilihanraya telus dan bebas,” akhiri beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan