Isnin, 14 Mei 2012

Penapisan ke arah "pembersihan"?

 
 
Rungutan dan juga bantahan telah dibuat oleh sekelompok wartawan dan pencinta kebebasan media terhadap kekerasan yang menimpa wartawan dan jurugambar yang sedang menjalankan tugas mereka ketika perhimpunan BERSIH 3.0 berlangsung di sekitar Kuala Lumpur yang berhampiran dengan Dataran Merdeka pada 28 April yang lalu.
 
Ini kerana "gangguan" yang dialami kumpulan wartawan dan jurugambar itu bukan saja merupakan satu perkara yang membahayakan secara fizikal, tetapi juga berperanan sebagai satu bentuk tapisan tegar terhadap kewartawanan dan kebebasan media di tanah air kita.  Sudah tentunya rampasan kamera dan kad memori daripada tangan jurugambar dan wartawan berkenaan menjejas kebebasan pekerja media ini untuk merakam dan menerbitkan berita peristiwa berkenaan untuk tatapan orang ramai, iaitu satu usaha untuk cuba mendampingi kebenaran sedekat mungkin.
 
Dengan kata lain, insiden kekerasan dan rampasan alat rakaman yang didakwa menimpa jurugambar dan wartawan itu bercanggahan dengan prinsip kebebasan akhbar, iaitu satu hujahan yang sudah tentunya berlawanan dengan dakwaan Perdana Menteri Najib Razak bahawa dua faktor ini tiada kaitan langsung antara satu sama lain.
 
Bentuk "penapisan" ini sudah tentunya merupakan jenis yang ekstrem jika dibandingkan dengan amalan "penapisan biasa" seperti surat tunjuk-sebab yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN); pihak media mendapat panggilan telefon dari pihak berkuasa; para editor dipanggil untuk "perbincangan" bersama pihak KDN; dan media mendapat arahan tertentu dari pihak atasan dari kementerian berkenaan agar "berkelakuan baik".
 
Tetapi "penapisan" terhadap media juga boleh muncul dalam bentuk yang berlainan daripada apa yang telah dinyatakan di atas.  Malah ianya berpotensi untuk mengalih pandangan umum daripada isu yang pokok.
 
Kekecohan dan keganasan yang timbul pada penghujung perhimpunan BERSIH 3.0 itu bukan sahaja mendapat perhatian media, malah menarik perhatian dan menimbulkan
kebimbangan orang ramai, lebih-lebih lagi mereka yang cintakan keamanan.
 
Yang lebih membimbangkan, sepertimana yang telah ditekankan di atas, ialah penumpuan media dan orang ramai terhadap insiden keganasan mempunyai kesan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada tuntutan BERSIH 3.0, iaitu menuntut satu proses pilihan raya yang adil dan telus, media yang adil, serta membenteras rasuah dan politik kotor, antara lain.
 
Isu keganasan ini sudah tentunya kelihatan penting oleh umum kerana secara prinsipnya ia boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keamanan dalam masyarakat, dan oleh kerana ini insiden yang bercirikan keganasan mudah mencuit hati dan mencetuskan kerisauan - dan juga kemarahan - dalam kalangan rakyat yang mencintai kedamaian dan keamanan seperti di Malaysia.
 
Selanjutnya, kelompok yang dikatakan mencetuskan keganasan atau kekecohan itu lazimnya menerima cemuhan dan kemarahan dari umum kerana kelihatan mencabar ketenteraman awam yang diidamkan dan disanjung oleh majoriti ahli masyarakat berkenaan.  Malah ada pihak, melalui pelaporan media, yang secara sedar memburuk-burukkan lagi (demonise) orang-orang yang kononnya mencetus kerusuhan atau keganasan itu hingga menyebabkan mereka lebih dibenci dan dikutuk sekeras-kerasnya oleh sebilangan ahli masyarakat.
 
Apa yang telah berlaku di negara atau dalam konteks lain ialah kejadian ganas yang menjejas perhimpunan awam telah menggalakkan sebilangan besar ahli masyarakat yang menuntut kepada pihak berkuasa untuk mengetatkan lagi kawalan terhadap kebebasan berhimpun, kalau tidak pun kebebasan bersuara.  Dengan kata lain, tuntutan ini telah memberi laluan, atau menghalalkan, tindakan pihak pemerintah untuk bersikap kukubesi pada akhirnya.
 
Dalam keadaan yang hiruk piruk ini, isu pokok yang menghantui insiden ini pada permulaannya telah diambil alih secara langsung atau tidak langsung oleh insiden bercorak fizikal itu, iaitu keganasan dan kekecohan yang berlaku.  Dengan kata lain, isu pokok atau perkara asal telah terbenam.
 
Dan dalam kes BERSIH 3.0, apa yang kemudiannya berlaku ialah bukan sahaja insiden keganasan di akhir perhimpunan di KL itu diperbesar-besarkan oleh media, malah ianya mengundang reaksi negatif daripada sebilangan manusia yang kononnya menerima akibat daripada insiden berkenaan.  Misalnya, bantahan dari segerombolan peniaga di Kuala Lumpur yang menuntut agar pengerusi bersama BERSIH 3.0, Ambiga Sreenevasan, dihukum, dan pampasan diberikan kepada mereka yang kononnya mengalami kerugian besar akibat daripada insiden BERSIH 3.0 di bandaraya Kuala Lumpur.
 
Perdana Menteri Najib pula mendakwa BERSIH 3.0 bertujuan mengguling pemerintahan sedia ada melalui kaedah yang bukan demokratik dan secara revolusi. Seterusnya dakwaan Najib ini mendapat reaksi, antara lain, daripada tiga bekas Ketua Polis Negara yang menuntut agar pihak polis mengambil tindakan yang kononnya kemungkinan besar merupakan satu percubaan untuk mengguling pemerintah secara tidak demokratik.
 
Rentetannya ialah Ketua Polis Negara Ismail Omar telah menjanjikan satu penyiasatan polis terhadap usaha yang didakwa bertujuan menjatuhkan pemerintah secara demonstrasi ganas.
 
Selain daripada itu, ada sebilangan manusia dari Pantai Timur yang teruja menuntut agar kerakyatan Ambiga ditarik balik kerana aktiviti beliau yang disifatkan sebagai kurang patriotik dan menjejaskan ketenteraman awam.  Hukuman yang amat berat telah disarankan bagi seorang warga yang mahukan kebersihan dalam proses pilihan raya.
 
Majlis Fatwa Negara telah mengeluarkan fatwanya - ekoran daripada kekecohan yang bersabitan dengan BERSIH 3.0 ini - yang mengharamkan orang Islam daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan yang kononnya tidak sah dan tidak membawa manfaat kepada mereka.  Yang peliknya, tiada fatwa telah dikeluarkan bagi BERSIH 1.0 dan 2.0 hingga boleh mengundang soalan samada perhimpunan yang lalu diiktirafkan sebagai "halal". Lagipun, adakah "haram" usaha untuk membersihkan prosedur pilihanraya dan juga sistem demokrasi di negara ini yang berselaput dengan rasuah dan politik kotor?
 
Sepertimana yang dinyatakan di atas, kekecohan dan keganasan yang timbul pada akhir perhimpunan BERSIH 3.0 di Kuala Lumpur telahpun mencetus pelbagai reaksi yang negatif dari pihak berkuasa dan kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat. Keganasan memang tidak diingini oleh majoriti dalam masyarakat.  Namun begitu, aspek keganasan yang berkaitan dengan BERSIH 3.0 ini perlu diletakkan dalam perspektif yang betul supaya ia membolehkan pemahaman yang mendalam dan juga tidak menenggelamkan isu pokok yang berkaitan dengan tuntutan BERSIH 3.0.
 
Jadi dalam konteks ini, "keghairahan" media terhadap keganasan yang berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 3.0 itu boleh mendatangkan kesan mengalih pandangan umum daripada tuntutan BERSIH 3.0 ke perkara-perkara sampingan yang timbul ekoran daripada kekecohan itu.
 
Dengan kata lain, isu sampingan yang ditimbulkan daripada perhimpunan ini merupakan satu bentuk penapisan yang halus yang menyebabkan tuntutan asas BERSIH 3.0 terbiar atau mendapat perhatian yang dingin dari pihak yang berkenaan.
 
Dan kekecewaan serta kebimbangan rakyat masih menyerlah jika tuntutan asas BERSIH 3.0 ini dipinggirkan secara langsung mahupun tidak langsung.  Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya, kesahihan hak rakyat untuk berhimpun secara aman di kawasan awam juga tergugat akibat kekecohan ini sepertimana yang dipaparkan dalam media arus perdana.
 
*Dr.Mustafa K Anuar ialah pemerhati media yang juga mengidamkan kebersihan politik.

Tiada ulasan: