Khamis, 17 Mei 2012

Pas sedia perjelas perjuangan parti

Wartawan Sinar Harian

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
 
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar 
 
 
SHAH ALAM - Pas sedia beri penjelasan secara terbuka dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi kepada pihak tertentu yang keliru dan mendakwa parti itu terpesong landasan perjuangannya, terutama menjelang pilihan raya nanti.

Parti itu juga belum lagi berhasrat mengadakan sebarang majlis muzakarah secara rasmi dan mengkhususkan isu ini dalam masa terdekat.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan bertujuan memberikan rakyat mendapatkan kefahaman baik mengenai Pas yang sebenarnya tidak lari daripada perjuangan asal.

Mahfuz mendakwa, isu tersebut timbul apabila media sering kali dilihat keliru dalam melaporkan berita mengenai perjuangan Pas sehingga pihak tertentu dan masyarakat musykil mengenainya.

“Mereka boleh datang menemui Pas atau menjemput Pas. Kami boleh turun padang memberikan penjelasan kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai kesediaan Pas untuk memberikan penjelasan kepada sesiapa sahaja untuk menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan menyatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya pada Ahad lalu.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura Ulama Pas sentiasa mengawasi perjalanan parti itu dalam memelihara landasan Islam yang diperjuangkannya.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tidak menetapkan tarikh tertentu kepada mereka yang ingin mendengar penjelasan mengenai perjuangan Pas.

“Kita sentiasa terbuka untuk memberikan penjelasan kepada mereka supaya mereka lebih memahami perjuangan Pas yang tidak lari daripada perjuangan asalnya,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu enggan mengulas ketika ditanya mengenai masyarakat yang melihat mereka lari dari perjuangan sehingga perlu mengadakan muzakarah untuk memberikan penjelasan mengenai perjuangan mereka.

Tiada ulasan: