Ahad, 13 Mei 2012

Pas sedia muzakarah soal Islam

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 
 
KUALA LUMPUR – Pas bersedia membuka pintu dan bermuzakarah dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuklah Umno bagi menyelesaikan isu dakwaan yang mengatakan perjuangan parti tersebut sudah jauh terpesong dari perjuangan asal.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan seperti ini adalah serius dan menegaskan Pas sentiasa konsisten berpegang dengan perjuangan asal iaitu memartabatkan agama Islam di negara ini.

“Pas bersedia bermuzakarah dengan semua pihak, pejabat Pas sentiasa terbuka termasuklah kepada Umno sendiri.

“Pas ada majlis Syura Ulama, oleh itu Pas sentiasa memelihara Islam dan bersedia berbincang isu-isu melibatkan umat Islam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Namun, sejurus selepas Hadi berkata demikian, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar mencelah dengan mengatakan “tidak muzakarah dengan Umno”.

Kelmarin, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran Pas menggugurkan perkataan Islam pada parti itu bagi mengelakkan kekeliruan.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menggesa Hadi berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai hudud, beliau menegaskan, Karpal seharusnya meraikan perbezaan pendapat ini.

Katanya, apa yang paling penting sekarang adalah semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) perlu fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Isu ini jelas, boleh rujuk kenyataan saya sebelum ini. Kita perlu tumpu apa yang berlaku sekarang, perkara itu apabila kita sudah perintah nanti, sekarang belum lagi,” katanya.

Tiada ulasan: