Jumaat, 18 Mei 2012

Muzakarah selepas PRU, bukan kerjasama politik

NURUL AINI MOHAMED ALI

Muzakarah selepas PRU, bukan kerjasama politik
 
Tuan Ibrahim Tuan Man
 
 
SHAH ALAM - Pas menyambut baik kesediaan Umno untuk bermuzakarah tetapi menegaskan platform itu tidak akan menyentuh isu kerjasama politik, idea yang pernah dibangkitkan susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Pas memberi kenyataan ini susulan respons Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Umno sedia menyahut seruan parti itu untuk bermuzakarah asalkan tujuannya demi kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya bersetuju untuk mengadakan muzakarah dan berharap ia akan menjadi kenyataan.

“Dengan adanya muzakarah ini, kita dapat menjawab segala isu semasa dan membetulkan sentimen negatif rakyat terhadap Pas, sekali gus menjawab segala tuduhan dan kontroversi,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Katanya lagi, buat masa ini pihaknya belum berbincang mengenai isu khusus yang akan dibincangkan dalam muzakarah tetapi yang pastinya isu semasa menjadi inti pati perbincangan.

“Pihak kami tidak boleh membuat keputusan ketika ini kerana saya akan membawa usul ini dalam mesyuarat bersama ahli tertinggi terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi,” kata beliau.

Tambah beliau, pihaknya sendiri akan menghantar surat rasmi kepada Umno bagi menjemput mereka menghadiri muzakarah ini tanpa menggunakan orang tengah.

“Saya menjangkakan muzakarah boleh diadakan selepas pilihan raya. Ketika ini, kami masih menumpukan sepenuh perhatian ke atas persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)," kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

Tiada ulasan: