Khamis, 17 Mei 2012

Menyanggah fatwa ‘Bersih’



Oleh USTAZ ABDUL GHANI SAMSUDDIN 


ADA individu mengatakan bahawa demonstrasi Bersih 1, 2 dan 3 baru-baru ini adalah satu perjuangan yang sia-sia, antara sebab dia kata begitu atas alasan;

1. Seolah-olah mereka yang berdemo itu dianggap sebagai golongan pemberontak seperti mana yang pernah berlaku pada zaman Sayidina Othman Affan.
2. Mereka juga dianggap golongan Khawarij kerana melawan pemerintah Islam.
3. Tidak patuh dan taat kepada pemerintah dan melanggar perintah Allah seperti firman-Nya dalam ayat 59 surah an-Nisa.
4. Sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan berbincang dengan pihak pemerintah untuk mencari penyelesaian bukannya dengan berdemo.
5. Berdemo ada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang menyalahi Islam.
6. Berdemo banyak menimbulkan masalah kepada peniaga dan membantutkan perjalanan orang awam ke tempat masing-masing yang terperangkap di jalan raya.
7. Menjadikan negara dalam keadaan huru hara dan memusnahkan harta benda awam.
8. Niat untuk berdemo pun sudah salah kerana nak lawan pemerintah Islam.
9. Tindakan berdemo tidak menepati hikmah dalam berpolitik dan berdakwah.

Persepsi dan sikap seorang Muslim dalam apa jua bidang dan isu yang dihadapi perlu menurut haluan dan tunjuk ajar ayat al- Quran dan hadis. Pendiriannya perlu diselaraskan dengan ajaran asas dan trend pemikiran umat Islam, yang terdiri daripada para alim ulama yang faqih, ikhlas, berani dan mempunyai integriti.

 Sebab itu setiap perkara perlu merujuk tulisan dan huraian mereka tentang hukum Islam tentang demonstrasi secara aman dan tunjuk perasaan pada umumnya; justeru mereka sebagai ilmuan syar’i berfikir mengikut urutan keutamaan atau susunan hujah yang teratur dan berurutan daripada yang maha penting kepada yang penting, kurang penting dan seterusnya.


 Apabila hukum sesuatu isu itu jelas berdasarkan dalil al-Quran dan hadis dalam susunan yang betul, maka setiap dalil yang lebih rendah martabatnya daripada al- Quran dan hadis ia menjadi tidak valid atau tidak berupaya menolak dalil yang lebih tinggi martabatnya dalam susunan logika agama.

Lebih-lebih lagi jika alasan yang dianggap sebagai hujah tersebut boleh ditolak dan ditangkis dengan logika kontra.

Dasar politik dan syura dalam Islam – umpamanya – menegaskan tentang wajibnya pelaksanaan hukum syari’at, wajibnya menobatkan keadilan, membanteras kejahatan, kezaliman, rasuah, penipuan, kemurtadan, penjajahan. Oleh itu setiap Muslim mesti menyelaraskan diri dengan tuntutan utama tersebut.

Amar makruf dan nahi munkar adalah suatu kewajipan agama. Pelaksanaannya dalam konteks kehidupan hari ini mestilah berdasarkan kefahaman tentang tuntutan agama yang menyeluruh dan lengkap.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemerintahan Islam yang sebenarnya. Apa kepincangan, kebobrokan kezaliman , rasuah, penipuan yang sedang berlaku hari ini. Apakah bentuk-bentuk perjuangan yang terbuka dan tindakan yang boleh digarap. Apa urutan keutamaan dan yang lebih penting dan mendesak untuk ditangani dan sebagainya.

Dalam urutan berfikir seperti yang tertera dalam soalan di atas terdapat kesalahan yang jelas dan sifat berfikir secara rancu atau semberono.

Hujah pertama adalah hujah akal dengan menyamakan orang yang demonstrasi secara aman sebagai Bughah atau pemberontak yang sempat membunuh Khalifah ketiga Islam iaitu Sayidina Othman pada suatu masa dahulu. Mendahulukan hujah ini membayangkan kesilapan qias atau tasybih. Pertama orang yang berdemo secara aman untuk menuntut keadilan dan kebersihan pilihan raya tidak keluar untuk membunuh mana-mana menteri atau malah polis.

Hujah kedua mengandungi kekaburan persepsi tentang pemerintahan Islam dan penyamaan orang yang berdemonstrasi secara aman dengan pemberontakan golongan Khawarij yang keluar dengan pedang dan senjata untuk menggulingkan Syaidina Othman 14 kurun yang silam.

Pemerintahan Islam mempunyai ciri asas yang terperinci seperti yang telah dihuraikan oleh para alim ulama. Sudah pasti sebuah pemerintahan Islam yang sebenar tidak akan merangkum atau membenarkan berbagai jenis kezaliman, salah urus, penderhakaan terhadap syariat, penipuan dan rasuah yang buruk seperti sekarang.

Hujah ketiga seolah-olah mahu mendangkalkan kefahaman orang ramai tentang ketaatan kepada pemerintah. Dalam ajaran Islam terdapat prinsip ketaatan kepada Ulil Amri atau pemerintah Islam dengan ciri-ciri yang telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab khusus yang membicarakan tentang pemerintahan Islam yang sebenar.

Dalam Islam juga terdapat konsep: “Tiada ketaatan kepada mahkluk dalam perkara yang bercanggah dengan arahan Khaliq (Allah).”

Dalam konteks demonstrasi para pemimpin Bersih berhujah dan bersandarkan kepada asas dalil dan persepsi yang betul tentang syariat justeru yang ikut bersetuju dan menyertai demonstrasi itu adalah tokoh-tokoh ulama, cendekiawan Islam, golongan bijak pandai dan berbagai-bagai lapisan kepimpinan NGO ternama yang Muslim dan bukan Muslim.

Ayat 59 Surah an Nisa’ yang diselitkan dalam hujah ketiga diletakkan kepada posisi berhujah yang mahu memperkukuh persepsi akal dalam premis yang pertama dan kedua. Kesimpulan ‘aqli melulu mahu ditopang dengan ayat al-Quran. Padahal ayatlah yang perlu diutamakan dalam berhujah.

Ayat yang seharusnya diutamakan ialah ayat dan hadis yang berkaitan dengan amar makruf dan nahi munkar. Ayat al-Quran mesti didahulukan dalam membentuk tasauwur kulli dan asas dalam menanggapi sesuatu isu.

Hujah keempat ialah suatu kesimpulan akli yang berkaitan dengan urutan keutamaan yang dianggap lebih betul oleh orang berkenaan. Hujah ini sudah ditangkis oleh tokoh-tokoh yang berdemonstrasi bahawa mereka sudah banyak kali menyuarakan tuntutan supaya kerajaan mereformasikan sistem pilhan raya yang tidak demokratik tersebut, membersihkan daftar pengundi, menghapuskan undi pos kecuali dalam kadar yang sangat mendesak dan berbagai-bagai lagi ketidak adilan yang sudah dilakukan namun hingga kini tiada sahutan yang sebenarnya daripada pihak yang bertanggungjawab.

Respons yang dijanjikan hanyalah sekadar penggunaan peti undi yang lutsinar dan penggunaan dakwat hitam sebagai penanda. Sebenarnya melindungi kemerdekaan rakyat, kebebasan dan kedaulatan umat untuk menentukan corak dan bentuk kepimpinan negara adalah suatu kewajipan asas rakyat dan umat Islam khasnya. Perkara ini kini boleh direalisasi pada peringkat utamanya dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran; mendesak kerajaan agar mematuhi tuntutan rakyat tersebut.

Hujah kelima adalah alasan sampingan yang bertaraf tambahan. Hujah ini tidak menyatakan hukum mengadakan pelbagai jenis pesta maksiat, pesta sukan dan hiburan yang dianjurkan oleh kerajaan yang mengandungi percampur-bauran remaja lelaki dan perempuan, adegan maksiat dan sebagainya.

Kalaupun mahu diraikan hujah ini namun ia boleh dijawab dengan alasan bahawa yang hadir demonstrasi pada asasnya bukanlah golongan remajawalaupun mereka juga hadir bersama, yang ramai hadir adalah golongan dewasa yang sudah berumur, beranak dan bercucu yang datang bukan untuk mencari hiburan tetapi memperjuangkan hak rakyat, kebebasan dan demokrasi yang sebenar. Mereka adalah golongan yang celik agama, celik ilmu dan celik politik. Mereka tahu batasan halal haram.

Oleh itu percampuran yang dilingkari dengan kesedaran mengenai tanggungjawab dengan menghadapi risiko yang tinggi dari segi keselamatan; iaitu risiko dianiaya oleh pasukan keselamatan adalah dimaafkan demi melaksanakan kewajipan yang lebih utama dan ‘viable’. Tidakkah tawaf, wuquf di Arafah dan malah solat juga mengandungi unsur percampuran lelaki dan perempuan namun ia dibenarkan justeru dilingkari dengan tatacara khusus dan ditopang oleh konsep ‘Umum al Balwa” di samping semangat kesedaran agama yang tinggi.

Hujah keenam berdemo menjejaskan peniaga dan mengganggu perjalanan orang ramai. Hujah akal ini boleh dijawab dengan hujah akal kontra.

Pertama tidak terbukti bahawa kalangan orang berdemonstrasi pergi menggarung, merompak dan merampas barang jualan peniaga. Malah merekalah yang memakmurkan warung, dan membeli belah barangan yang dijual oleh penjaja dan kedai-kedai yang ada di lokasi laluan orang yang berdemonstrasi tersebut.

Unit Amal yang ikut bersama mengatur perjalanan demonstrasi telah memastikan keselamatan, kebersihan dan ketertiban peserta demonstrasi tersebut. Mereka tidak menutupi seluruh laluan, tetapi mengambil sebahagiannya untuk memberi laluan kepada kenderaan.

Kecuali di persekitaran berdekatan dengan Dataran Merdeka di mana jalan rayanya yang terpaksa ditutup kerana bilangan orang ramai yang berjumlah ribuan. Itu pun dalam masa satu atau dua jam sahaja.

Yang mengadakan sekatan jalan raya, menyempitkan lebuh raya yang lapang dari tiga laluan menjadi satu sejak pagi hingga petang dan di seluruh persimpangan penting dengan menimbulkan kesesakan yang tidak perlu dan membazirkan minyak petrol kereta orang ramai kerana ketakutan yang dibuat-buat, menyembur asid dan menembak gas pemedih mata kepada orang ramai yang ingin keluar daripada Masjid Jamek atau Masjid Negara Kuala Lumpur selepas solat Zuhur.

Ini bukan tindakan orang yang berdemonstrasi tetapi ialah oleh pihak keselamatan yang terlalu mengikut arahan bermuslihat pasti BN atau Umno.

Sudah sampai masanya agar dibuat ketentuan berkanun bahawa sekatan jalan raya hanya boleh diadakan atas alasan keselamatan negara yang mendesak dan munasabah. Sekatan jalan raya tidak boleh diadakan secara sebarangan dan sewenang-wenang; khasnya bila terdapat ceramah atau perhimpunan golongan parti pembangkang.

Parti pembangkang dan penyokong mereka adalah rakyat Malaysia yang sah dan mempunyai hak yang sama dengan para pengikut parti yang memerintah.

Gerakan politik demokrasi mereka bukan suatu ancaman kepada negara untuk diadakan sekatan yang menyusahkan orang ramai.

Rakyat mesti menuntut sikap berkecuali, sifat integriti dan adil daripada pihak keselamatan atau pihak polis. Mereka atau pihak polis pula wajib memberikan permit untuk berdemonstrasi secara aman kepada semua parti yang sah sebagai bukti wujudnya amalan demokrasi yang sihat di negara ini dan tidak hanya memberikan permit dan perlindungan kepada para demonstran anjuran Pemuda Umno atau BN sahaja di Dataran Merdeka dan lain-lain.

Kemerdekaan dan Dataran Merdeka adalah milik semua rakyat yang merdeka.

Hujah ketujuh menekankan tentang kemusnahan harta awam dan negara menjadi huru-hara dengan demonstrasi aman.

Ini pun alasan yang salah justeru demonstrasi aman yang telah menjadi pendekatan kumpulan Bersih yang dianggotai oleh berpuluh-puluh NGO masyarakat madani adalah perhimpunan yang berjalan secara aman dan bersih.

Malah tidak bercadang pun untuk menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara. Apa yang akan menjadi sebab huru-hara ialah ketidakadilan, kezaliman, kekerasan terhadap rakyat, penipuan dan rasuah yang dibiarkan membiak secara berleluasa; hal mana akan berakhir dengan kehilangan dan kemusnahan harta, keamanan dan keselamatan negara umumnya.

Hujah kelapan bahawa niat untuk berdemo pun salah kerana menentang pemerintah Islam. Hujah ini meleset kerana yang ditentang bukan pemerintah Islam tetapi adalah kezaliman, korupsi, ketidakadilan, kemungkaran dan amalan salah guna kuasa yang wajib ditentang menurut ajaran Islam. Hujah yang bertolak daripada pemikiran serkap jarang dan rambang tidak boleh berdiri dan tegak dari sudut pemikiran akal waras dan syara’.

Apakah nas dan hadis yang mengharamkan penentangan terhadap perkara mungkar tersebut untuk dibuat kesimpulan bahawa demonstrasi aman - yang menjadi salah satu cara menyatakan perasaan dan sikap tidak setuju rakyat kepada semua kejahatan tersebut - sebagai haram; meskipun sekadar niat untuk berdemonstrasi?

Tiada ulasan: