Khamis, 17 Mei 2012

Imej UMNO 'Diharamjadahkan' Oleh NGO Pra Matang




Oleh Shahbudin Husin

 
Sejak akhir-akhir ini nampaknya begitu galak NGO-NGO yang pro UMNO melakukan pelbagai tindakan untuk mempertahankan parti itu sejak perhimpunan Bersih 3.0 yang jelas memperlihatkan UMNO makin kesakitan untuk mengekalkan kuasanya.

Dengan tujuan mengalih perhatian terhadap kebangkitan rakyat, sebuah NGO yang bernama Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia atau IKHLAS mengadakan protes jualan burger di depan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga atas kerugian yang kononnya mereka alami ketika perhimpunan Bersih 28 April lalu.

Tidakan IKHLAS ini jelas kurang matang dan tersasar dari fakta kerana jika mereka menjalankan perniagaan pada hari tersebut,tentunya keuntungan berlipat kali ganda dapat diraih kerana ratusan ribu yang hadir dalam perhimpunan itu adalah merupakan pembeli berpotensi untuk makanan seperti burger dan air minuman. Sepatutnya mereka tidak menutup kedai pada hari tersebut, malahan menambah stok jualan.

Tetapi oleh kerana IKHLAS ini tidak ikhlas untuk berniaga dan menambah rezeki tetapi lebih ghairah untuk menjadi nasi tambah dalam pergolakan politik semasa, maka mereka telah melakukan tindakan yang memalukan diri sendiri pada mata rakyat. IKHLAS sebenarnya lebih sibuk untuk menjadi NGO pro UMNO daripada melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk ahli-ahlinya sendiri.

Yang terbaru pula, susulan dariada perhimpunan Bersih juga, Persatuan Veteran Tentera Melayu atau PVTM trlah mengadakan demo "senaman punggung", juga di depan rumah Ambiga sebagai bantahan kerana kononnya tindakan Ambiga mengetuai Bersih telah merosakkan imej negara. Mengadakan bantahan dengan bersenam sambil menggoyang-goyangkan punggung adalah perbuatan lucah, tidak beradab dan keluar sama sekali daripada tata susila bangsa Melayu dan rakyat Malaysia yang matang serta beradab sopan.

Haruslah difahami bahawa politik adalah perjuangan yang berteraskan akal fikiran dan kematangan. Dengan bergaya lucah dan menunjuk punggung untuk melawan perjuangan Bersih yang menuntut ilihanraya yang bersih dan adil hanya membuktikan PVTM sebuah lagi NGO pro UMNO yang tidak matang dan kebudak-budakan. Sukar mempercayai bekas askar boleh terlibat aksi sebegini. Sepatutnya kalau PVTM mahu melawan Bersih 3.0 yang berjaya menghimpunkan 300 ribu orang, mereka seharusnya menganjurkan satu perhimpunan yang boleh dihadiri oleh lebih ramai daripada itu.

Tindakan PVTM mengadakan demo lucah dan biadap seramai 15 orang hanya menunjukkan mereka adalah NGO pro UMNO yang pra matang. Tiada apa-apa sumbangan mereka kepada UMNO akibat perlakuan itu. Jumlah penyokong UMNO tidak akan bertambah kerananya. Pengundi atas pagar akan lebih menjauhi UMNO kerana kebiadapan aksi yang ditunjukkan itu. Di mata rakyat gelagat NGO ini hanya berjaya "mengharamjadahkan" imej UMNO semata-mata kerana perlakuan mereka dilihat seolah-olah dinaungi serta direstui oleh UMNO dan pimpinannya.

Dengan aksi yang seperti "haram jadah" yang ditunjukkan itu, sudah tentulah UMNO akan dilihat sedemikian rupa juga. Dengan pemikiran pengundi semakin kritikal sekarang ini, gelagat pra matang PVTM ini hanya menambahsukarkan lagi UMNO dan BN untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini.

Sebelum itu, dengan tujuan menyindir Azmin Ali yang didakwa terlibat dalam aksi seks sebagaimana yang diheboh-hebohkan melalui penyebaran video yang mirip dirinya, sebuah NGO tanpa nama telah mengadakan demo Duduk dan Jilat di Shah Alam sambil mengagih-agihkan aiskrim percuma sambil berpesan "jangan makan airkrim dalam tandas" kepada mereka yang sudi menerima pemberian aiskrim percuma yang entah siapa penajanya itu. Perlakuan NGO ini juga bercirikan lucah, jijik dan biadap yang bertentangan sama-sekali dengan budaya rakyat Malaysia.

Meskipun NGO ini mengatakan mereka tidak memihak kepada mana-mana parti politik tetapi dengan penglibatan beberapa invividu dalam demo itu jelas sekali membuktikan mereka mempunyai kaitan yang rapat dengan UMNO dan pemimpin tertentu. Apakah manfaat yang UMNO perolehi daripada demo Duduk dan Jilat ini?

Jawapannya sudah tentu kosong. Sekali lagi - kosong. UMNO sebenarnya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripada demo ini. Sebagaimana demo "senaman punggung" di depan rumah Ambiga yang tidak menyebabkan undi UMNO bertambah dan tidak juga meyebabkan Najib akan memperolehi keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang, demo Duduk dan Jilat ini juga tidak menyumbang sesuatu yang baik kepada UMNO, selain aksi dan gelagat mereka itu berjaya menjadikan imej UMNO kelihatan seperti "haramjadah" pada pandangan umum.

Sebelum demo jualan burger, aksi Duduk dan Jilat serta senaman punggung, sebuah lagi NGO iaitu TIBAI telah juga dilancarkan dan kini sedang bergerak aktif mengadakan ceramah dengan sasaran menyerang peribadi Anwar Ibrahim yang dikaitkan dengan pelbagai perlakuan seks serta moral yang diragui. NGO ini yang dianggotai oleh mereka yang pernah rapat dengan Anwar dan menghentam UMNO serta Tun Mahathir suatu ketika dahulu, berbuat demikian semata-mata untuk membantu UMNO dan mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri. Dua orang daripada anggota kanan kumpulan ini sudah pun diberikan jawatan Senator oleh Najib iaitu Ezam Mohd Nor dan Datuk Nallakaruppan.

Kesemua perlakuan dan aksi NGO ini ialah untuk membantu UMNO dalam pilihanraya akan datang. Tetapi mungkinkan UMNO menang dengan bantuan kempen yang berunsur seks, lucah, serangan peribadi, aksi biadap dan tanpa akhlak ini?

Kiranya UMNO merasakan gelagat NGO-NGO terbabit sesuatu yang membanggakan dan berupaya menambahkan jumlah undi dalam pilihanraya akan datang, eloklah UMNO bermuhasabah semula sebelum menghadapi pilihanraya ini. Dengan perlakuan pra matang NGO-NGO terbabit yang lamgsung tidak memberi manfaat kepada imej UMNO selain menjadikan UMNO kelihatan lebih kotor dan "haram jadah" di mata rakyat, UMNO dan BN mungkin ditimpa bala yang lebih besar jika semua NGO ini terus bermaharalela seolah-olah mereka sayap baru UMNO dan BN serta "anak emas" Najib menjelang pilihanraya akan datang ini.

Perlakuan mereka akan menyebabkan pengundi pelbagai peringkat merasa lebih jijik untuk menyokong UMNO dan BN.http://shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: