Ahad, 6 Mei 2012

Hadi: Beri peluang Azmin bela diri

W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN

hadi awang
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang 
 
 
KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta RTM dan TV3 membuat liputan secara langsung bagi memberi peluang kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali membela diri dan menjawab tuduhan yang mengaitkan beliau berhubung isu video panas yang tersebar baru-baru ini.

Bercakap kepada media di sini, Abdul Hadi menganggap beliau tiada hak mengulas mengenai pembabitan pelaku yang mirip Azmin itu, tetapi menyifatkan kaedah yang dicadangkan itu adil kepada individu terbabit.

Beliau berkata, siaran secara langsung boleh memberi liputan penuh kepada kenyataan Azmin tanpa sebarang suntingan.

“Saya minta RTM, TV3 bagi peluang kepada Azmin untuk bercakap di TV. Biar dia bercakap, bagi peluang kepada dia barulah adil. Saya tiada hak untuk bercakap tentang itu. Biar dia sendiri melalui siaran secara langsung. Kalau rakaman, nanti dipotong pula,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah umum di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, semalam.

Abdul Hadi turut menggesa pihak yang menyebarkan video terbabit diambil tindakan kerana ia tidak wajar didedahkan sedemikian rupa kepada umum.

Berhubung pendirian Pas, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pihaknya berpegang kepada kaedah Islam yang menuntut empat saksi bagi mengesahkan kesahihan pelaku dalam video terbabit.

“Kita berpegang kepada ajaran Islam. Adat Islam kena ada empat saksi, saksi yang adil, ikhlas dan bersopan dan mahkamah yang bebas, akhbar boleh jadi mahkamah,” katanya.

Ditanya khabar angin mengenai penglibatan pemimpin Pas yang turut dikaitkan dalam video tidak bermoral yang masih belum didedahkan, beliau menegaskan, jika benar, ia perlu dibawa ke mahkamah.

Jelasnya, sebarang penyebaran imej tidak senonoh tidak boleh disebarkan sewenang-wenangnya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat dengan penyebaran imej lucah adalah berdosa termasuk pihak penerbitan akhbar dan penulis yang menyampaikan maklumat berkaitan, walaupun ia benar kerana kesalahan yang dilakukan pelaku itu disifatkan sebagai hak tuhan.

“Mana boleh sebar, bawalah pergi mahkamah kalau mahu buat tuduhan, tak baik dan berdosa, akhbar pun berdosa, yang tulis itu pun berdosa. Kalau tuduhan itu betul sekali pun tapi tiada saksi, tiada bukti tetap berdosa apatah lagi benda salah. Islam tak benar begitu.

“Walaupun kita tengok orang buat benda salah, kita seorang ada, itu tetap salah sebab itu adalah hak tuhan, ini pergi rampas hak tuhan mana boleh macam tu,” katanya.

Tiada ulasan: