Rabu, 16 Mei 2012

Daripada REFORMASI kepada BERSIH: Gerakan kesedaran kolektif

Oleh Hafiz Zainudin




BERSIH dalam media arus perdana cuma ada dua. Pertama, mahu mencetuskan kekacauan; kedua, mahu menggulingkan kerajaan dengan campur tangan asing. Media kawalan Barisan Nasional masih menganggap seolah-olah rakyat Malaysia tidak pernah pergi ke sekolah atau tidak sedar wujudnya Google, Facebook, malah internet.

Kerajaan UMNO-BN cuma mahu masyarakat terlingkung dalam propaganda murahan mereka yang mahu mewujudkan suasana di mana masyarakat hanya mengikut telunjuk pemerintah dan menonjolkan kuasa kerajaan yang mahu menghukum tanpa mewajarkan kebenaran.

Tujuannya mudah: agar pimpinan UMNO-BN mendapat manfaat dari persepsi yang mereka ciptakan sendiri.

Persoalannya, apakah tuduhan-tuduhan tidak masuk akal tersebut akan wujud sekiranya gerakan rakyat jelata melalui BERSIH tidak wujud?

REFORMASI 1998: Benih kesedaran rakyat

Saya suka untuk mengungkap jawapan Allahyarham Rustam Sani sewaktu diwawancara oleh Fathi Aris Omar pada tahun 1999 mengenai persoalan berkaitan Gerakan Reformasi 1998 dengan politik semasa.

Jawapan Rustam: Memang benar gerakan reformasi tercetus selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan, dipukul dan dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kemudian dipenjarakan atas tuduhan yang menimbulkan banyak persoalan, tetapi ia lebih kompleks daripada peristiwa tersebut.

Gerakan reformasi terhasil dari proses pemodenan, pendidikan, liberalisasi masyarakat kita sendiri dalam dunia yang kian sejagat. Reformasi 1998 menuntut sebuah reformasi sistem pemerintahan yang telah dikotori gejala kronisme, rasuah, penyelewengan, penindasan dan proses melemahkan minda rakyat hasil pemerintahan Mahathir Mohamad sejak 1981, kepada sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih adil, telus dan demokratik.

Apabila gerakan rakyat ini meledak di Kuala Lumpur, ia berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan status quo di Kelantan oleh PAS dalam pilihan raya umum 1999. Pihak oposisi yang ketika itu dilihat optimis untuk ‘Malaysia Baru’ terpaksa akur dengan keputusan PRU 1999 di mana mereka diperangi habis-habisan melalui media arus perdana kawalan UMNO-BN termasuklah penipuan dan manipulasi serta salah guna jentera kerajaan dalam pilihan raya.

Tuntutan gerakan reformasi 1998 tidak kurang bezanya dengan tuntutan BERSIH yang mempunyai matlamat dan halatuju yang serupa, iaitu mahukan Malaysia yang lebih demokratik melalui pilihan raya yang bersih, adil dan telus serta media yang benar-benar bebas.

Ternyata, benih-benih reformasi telah pun berkembang, malah ia mendapat dokongan sebahagian besar kelompok rakyat dan menyeluruh. Malah, benih reformasi 1998 juga lahir daripada usaha gigih oposisi serta kumpulan masyarakat madani sejak satu, dua dekad sebelum itu.

BERSIH: Kesedaran kolektif rakyat

Hasil dari perkembangan teknologi maklumat yang diperkenalkan oleh Mahathir sendiri – sebenarnya lebih kepada mahu menunjuk-nunjuk kepada dunia daripada inginkan rakyat lebih celik maklumat dan kebenaran – rakyat Malaysia semakin terdedah dengan maklumat alternatif yang segar dan pelbagai mengimbangi maklumat arus perdana.

Gerakan BERSIH adalah gerakan demokrasi massa terbesar di Malaysia hasil usaha masyarakat madani dan pihak oposisi yang bergabung di atas nama Pakatan Rakyat. Ia merupakan gerakan massa kedua terbesar selepas kebangkitan gerakan reformasi lebih satu dekad lalu.

Gerakan BERSIH adalah manifestasi atas kesedaran kolektif dan kefahaman rakyat terhadap politik semasa negara bertitik tolak dari ‘proses pemodenan, pendidikan, liberalisasi masyarakat’ dan di atas keserakahan kuasa kerajaan Barisan Nasional. Kesedaran inilah yang paling ditakuti oleh UMNO-BN.

Kesedaran kolektif rakyat yang disalurkan melalui gerakan BERSIH berlandas atas prinsip dan fakta yang konkrit dan sama sekali bukan atas pengaruh luar atau ‘ejen-ejen asing’ seperti Starbucks, McDonald’s, Toyota dan sebagainya.

Ia juga bukan disebabkan Datuk Ambiga Sreenevasan seorang yang tidak makan daging (vegetarian), Datuk A. Samad Said seorang Sasterawan Negara, Datuk Paduka Marina Mahathir anak bekas Perdana Menteri, sama ada mereka makan daging atau tidak, atau pun sebab sokongan LGBT yang kuat. Itu semua karut.

UMNO: Benih kejatuhan Barisan Nasional

Benih-benih reformasi sudah menampakkan hasilnya, keperihatinan rakyat terhadap politik nasional semakin teserlah selepas pilihan raya umum 2008. Gelombang kuning BERSIH yang bermula sejak November 2007 telah berjaya menghimpunkan rakyat pelbagai bangsa yang sudah jelak dengan mainan politik sempit UMNO-BN.

Dan sekarang, kita dapat melihat BN berusaha menarik semula sokongan rakyat yang kian merosot dengan pelbagai cara memberikan pelbagai insentif dan peruntukan kepada rakyat Malaysia; terus menggunakan wang rakyat untuk gula-gula politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelihatan begitu terdesak, beliau mengumumkan transformasi demi transformasi; namun ia masih dengan keadaan separuh takut. Misalnya ISA dimansuhkan tetapi digantikan dengan akta yang lebih menyekat hak serta dipinda undang-undang keselamatan yang ada untuk terus mengekang hak rakyat.

Rakyat mula sedar, selama beberapa penggal mereka memberikan mandat kepada UMNO-BN, tetapi kerajaan tidak menunjukkan prestasi dan perubahan yang baik. Sama ada sebermula era Mahathir, sepanjang era singkat Tun Abdullah Ahmad Badawi sehinggalah Najib, pokok pangkal permasalahan iaitu rasuah, salah guna kuasa dan diskriminasi terhadap rakyat kekal berterusan. Kini ditambah pula dengan tekanan pihak berkuasa, budaya samseng dan lucah.

Apakah mereka beranggapan bahawa, selain penyokong UMNO-BN, rakyat Malaysia bukan warga negarayang membayar cukai tetapi dianggap mereka tidak layak untuk diberi keadilan sewajarnya?

KUASA: Di tangan kita

Tidak ada lagi yang UMNO-BN mampu lakukan saat ini selain meneruskan dasar ‘merasuah rakyat’ menjelang PRU13. Skripnya masih di takok lama. Jika rakyat masih tertipu, maka segala gula-gula politik itu hilang manisnya sebaik sahaja UMNO-BN kembali memerintah. Apakah rakyat kini terlalu benak untuk membezakan antara kaca dan permata?

Selagi UMNO-BN masih selesa kekal dengan keangkuhan dan kesombongan mereka, terus merasuah, mencabul ruang kebebasan dan peribadi, membolot kekayaan negara dan menelanjangi demokrasi kita, selagi itu ‘perubahan” hanya menjadi mainan lidah tak bertulang.

Keputusan muktamad di tangan kita. Sama ada mahu terus lawan secara terbuka atau sekadar diam-diam mengundi dalam PRU untuk ‘perubahan’, semuanya hak kita sendiri. – Roketkini.com

Tiada ulasan: