Selasa, 15 Mei 2012

Bersih 3.0: MP PKR Tian Chua didakwa

SINAR HARIAN

Bersih 3.0: MP PKR Tian Chua didakwa
 
Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang
 
 
KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang atau dikenali sebagai Tian Chua hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.
  
Tian Chua, 49, didakwa melanggar perintah yang dikeluarkan oleh DSP A. Rajakopal untuk beredar dari kawasan Pulapol itu yang diisytiharkan sebagai suatu kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan 1975.
  
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Nasional didakwa melakukan kesalahan itu di Pulapol, Jalan Semarak pada 2.30 pagi, 29 April lepas.
  
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria menawarkan kepada mahkamah supaya Tian Chua diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Latheefa Koya yang mewakili anggota Parlimen itu membantah atas alasan jaminan tersebut adalah tinggi.
  
"Tiada alasan anak guam saya untuk tidak menghadirkan diri ke mahkamah kerana dia merupakan anggota Parlimen. Dia juga akan hadir ke mahkamah kerana masih menghadapi perbicaraan kes lain," kata Latheefa Koya.
  
Hakim Mahmud Abdullah membenarkan Tian Chua diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai ini untuk bicara - Bernama

Tiada ulasan: