Jumaat, 4 Mei 2012

Bersih 3.0: Malapetaka perhubungan awam terbesar Najib

Harakahdaily,



(Najib merenung Bersih 3.0 yang menjadi malapateka untuknya)


KUALA LUMPUR: Magnitud kerosakkan  perhubungan awam Bersih 3.0 jauh lebih besar berbanding Bersih 2.0 untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila kisah ngeri kekejaman polis dibongkarkan.

Demikian kata pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

"Sepertimana yang telah saya katakan selepas perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lepas, memang terdapat banyak 'mangsa' terutamanya dari pihak Polis, petugas media arus perdana dan Suruhanjaya Pilihan Raya; tetapi tanpa sebarang keraguan, orang yang menanggung kekalahan paling teruk ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Keadaan ini lebih kelihatan pasca “duduk bantah” Bersih 3.0 Sabtu lepas pada 28 April lalu, kerana Bersih 3.0 merupakan satu malapetaka perhubungan awam untuk Najib berbanding Bersih 2.0.



(Orang ramai lari pertempiaran selepas diserang dengan gas pemedih mata)

Magnitud kerosakkan dan impaknya bertambah buruk apabila kisah ngeri kekejaman dan kezaliman Polis dibongkarkan oleh ratusan ribu rakyat Malaysia yang turun ke Kuala Lumpur dalam keadaan aman tetapi tidak pula dibenarkan pulang dan bersurai dalam keadaan aman.

Tiada seorang pun rakyat Malaysia yang waras dan boleh berfikir mungkin mudah terbeli dengan dakwaan Najib semalam bahawa penganjur Bersih 3.0 bertanggungjawab atas keganasan Sabtu lalu, khasnya amukan keganasan dan kekejaman Polis terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media.

Bagi beliau, kuasa berlebihan, tidak bertempat dan tanpa berkecuali yang digunakan oleh polis, sama ada penembakan gas pemedih mata, tembakan meriam air mahupun keganasan dan kekejaman lainnya, tidak boleh dihalalkan atas alasan demonstran merempuh hadangan Dataran Merdeka Sabtu lepas.

Sebuah kritik terhadap salahtadbir kerajaan dalam menangani perhimpunan Bersih 2.0 untuk pilihanraya bebas dan adil pada Julai tahun lepas menggesa agar pentadbiran Najib membuang mentaliti 'Perang Dingin' dan memodenkan konsepnya dalam menangani isu keselamatan dalam negara dan isu-isu nasional lain.

"Namun begitu, mentaliti 'Perang Dingin' ini dilihat dominan dalam cara pengurusan acara 'duduk bantah' Bersih 3.0 selepas 3 petang Sabtu lepas," katanya.

Pentadbiran Najib harus diingatkan semula bahawa 'musuh'nya bukan lagi komunis yang mengangkat senjata dan berperang di dalam hutan belantara.

"tetapi sebuah gerakan masyarakat yang terdiri daripada golongan pertengahan yang sudah celik politik yang turut berhubung dengan masyarakat dunia dan bergerak atas isu-isu yang sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan seperti pilihanraya yang bebas dan adil; hak asasi untuk berhimpun dan berpersatuan; pentadbiran berintegriti, baik, bersih dan tanpa rasuah!"

Tentang salahurus kerajaan semasa perhimpunan Bersih 2.0, Najib mempunyai peluang untuk berhenti sejenak, berundur dan menyelamatkan situasi sebelum kerosakkan yang lebih parah berlaku – yang membawa kepada ucapan Hari Malaysia pada 16 September tentang Transformasi Politik besama janji-janji reformasi kebebasan demokrasi dan hak asasi.

(Apa yang Najib boleh jelaskan dengan gambar ini)

"Adakah Najib mampu merentasi kabut propaganda ciptaannya dan para penasihat beliau untuk menyedari bahawa Bersih 3.0 merupakan satu bencana yang lebih besar untuk beliau berbanding Bersih 2.0.

"Ini kerana ia turut membawa kepada 'hari terburuk dalam sejarah media di Malaysia' di mana wartawan dan jurugambar sekaliannya telah protes pada Hari Kebebasan Media Sedunia semalam dengan memakai pakaian berwarna hitam bersama riben kuning.

"Dan profesionalisme polis mendapat lebam mata paling teruk dalam sejarah dengan amukkan keganasan dan kekejaman anggotanya terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media?" kata Lim Kit Siang.

Beliau turut mempersoalkan, adakah Najib menyedari bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein, pernah menyatakan sebelum ini bahawa Bersih 3.0 bukanlah “ancaman keselamatan” kerana ia “tiada daya tarikan”.

Beliau juga amat pantas memuji 'ketahanan diri dan profesionalisme polis' meski terpampang kes amukkan keganasan dan kekejaman polis paling teruk.

Beliau tidak boleh meyakinkan orang awam bahawa sebuah penyiasatan awam tanpa sebarang halangan akan menyiasat keganasan Bersih 3.0 tanpa mengira mangsa – sama ada polis, wartawan mahupun peserta perhimpunan aman?

"Bolehkah Najib berhenti sejenak, melihat ke belakang, dan menyelamatkan keadaan sebelum lebih banyak binasa dilakukan terhadap pentadbirannya dan juga persepsi antarabangsa terhadap negara akibat salahurus yang lebih besar sewaktu “duduk bantah” Bersih 3.0 berbanding Bersih 2.0 Julai lalu?" soal Kit Siang lagi.

Tiada ulasan: