Jumaat, 18 Mei 2012

Bersih 3.0: 2 anggota polis didakwa kasari jurugambar

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang jurugambar pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lepas.

Lans Koperal Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Konstabel Shahrul Niza Abd Jalil, 24, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap jurugambar Guang Ming Daily, Wong Onn King, 33, di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja antara pukul 5.20 petang dan 5.30 petang.

Mohd Khairul Asri, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanjung Malim, Perak manakala Shahrul Niza, dari IPD Dang Wangi, didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassaniah Bakri menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Salim Bashir, yang mewakili kedua-dua anggota polis, membantah jumlah jaminan itu atas alasan ia tinggi dan tertuduh juga berpendapatan rendah.

Majistret Zulkipli Abdullah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jun depan untuk sebutan kes.

Mereka membayar jaminan tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: