Jumaat, 25 Mei 2012

Aziz Bari antara profesional sertai PKR

 

 KL TODAY

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan penyertaan empat orang tokoh profesional sebagai anggota parti itu.Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu empat tokoh tersebut adalah Pengurus Kanan Am Jabatan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Koh King Kee, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab, bekas Pengarang The Malaysian Insider, Praba Ganesan dan Dr Abdul Aziz Bari, bekas pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, Koh King Kee merupakan graduan lepasan Universiti Malaya dan pernah menjadi tahanan ISA pada Disember 1974 disebabkan beliau aktif memperjuangkan keadilan sosial.

Jelasnya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Abdul Hadi merupakan bekas pegawai tertinggi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas pemecatannya yang tidak sah berhubung kehilangan dua enjin jet pejuang F5E dari kem TUDM di Sungai Besi.

“PKR sangat mengalu-alukan penyertaan empat tokoh profesional ini dan membuka seluas-luas pintu kepada mana-mana tokoh atau individu yang ingin turut serta bersama PKR dalam memperjuangkan agenda reformasi dan keadilan untuk masa depan Malaysia yang cerah,” jelasnya lagi.

Sementara itu, bagi PAS pula, fenomena penjawat awam berpangkat tinggi menyertai PAS diyakini akan berterusan selepas ini, kata veteran PAS, Ahmad Awang.
Ahmad berkata, fenomena ini berlaku kerana rakyat tidak menyenangi situasi politik dalam negara yang tidak baik.
Tambahan pula kata bekas Naib Presiden PAS itu, tindakan kerajaan menyekat kemaraan Bersih 3.0 baru-baru ini memberi kesedaran kepada rakyat untuk menolak kerajaan yang enggan membersihkan sistem pilihan raya.

“Banyak isu dalam negara menyebabkan kemarahan rakyat dan mereka mula sedar kepentingan mereka bersama-sama dalam perjuangan PAS,” kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Beliau juga juga yakin makin ramai pesara kerajaan akan menzahirkan sokongan terhadap PAS jika kerajaan terus mengamalkan politik kotor dan kezaliman.

“Saya yakin semakin banyak penyelewengan, salahguna kuasa dan politik kotor, semakin ramai orang akan menyertai perjuangan PAS,” katanya.

Tiada ulasan: