SEKARANG kerjasama antara PAS dan DAP telah sampai ke tahap yang kukuh dan mantap. Memang perkara inilah yang amat digeruni oleh Umno yang sentiasa mengungkitkan sentimen asabiyah demi usaha mereka untuk meraih sokongan Melayu.
Orang Cina sekarang boleh terima PAS dan orang Cina amat menghormati PAS sebagai sebuah parti Islam yang adil dan berwibawa.
Malangnya ramai lagi orang Melayu masih merasa benci dan menaruh prasangka yang buruk terhadap DAP.
Ini menunjukkan bahawa ramai orang Melayu telah berjaya diperdayakan oleh Umno. Di manakah semangat kerjasama 1-Malaysia yang hangat diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak itu?
Ini amat berbeza sekali dengan orang PAS, contohnya Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin yang telah banyak membantu masyarakat Cina Jalan Sultan untuk mempertahankan hartanah warisan mereka dan ini amat-amat dihargai oleh orang Cina.
Pada masa kini juga, orang Cina yang hendak mengetahui mengenai agama Islam akan meminta orang PAS untuk memberi penerangan dan ini bererti PAS telah berjaya berdakwah terhadap orang bukan-Islam.
Dulu orang Cina menganggap PAS sebagai sebuah parti yang ekstremis dan fanatik disebabkan oleh propaganda media arus perdana tetapi pemikiran seperti ini tidak wujud lagi di kalangan masyarakat Cina sebab ini ialah zaman internet dan sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah demokrasi yang lebih maju dan sempurna.
Sudah tiba masanya orang Melayu bekerjasama dengan orang Cina tanpa apa-apa buruk prasangka untuk membangunkan negara ini sebab negara Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dengan bermacam-macam jenis hasil sumber kekayaan yang boleh dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa ataupun agama.
Dengan kerjasama yang erat diantara semua kaum barulah negara akan mencapai kejayaan dan wujudnya suasana harmoni dan kedamaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan