Ahad, 6 Mei 2012

500 rumah di Terengganu rosak dipukul ribut




MARANG - Lebih 500 buah rumah di tiga buah daerah di negeri ini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut dan hujan lebat kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

Tiga buah daerah terlibat ialah Kuala Terengganu, Setiu dan Marang.

Dalam kejadian itu, kebanyakan rumah terlibat mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung akibat diterbangkan angin.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, beliau difahamkan tidak terdapat mangsa tercedera dalam kejadian ribut itu.

"Kita sedang mendapatkan maklumat terperinci tentang kerosakan rumah daripada pihak berkenaan di kampung-kampung yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melawat rumah mangsa kejadian di Kampung Undang di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Bukit Payung, Zaidi Muda memberitahu, sebanyak 208 buah rumah di Bukit Payung terjejas akibat kejadian ribut tersebut.

Tiada ulasan: