Ahad, 13 Mei 2012

1 maut, 77 cedera bas bawa ahli Umno kemalangan

FREE MALAYSIA TODAY

Roha Dol, 79, anggota wanita Umno Batu Pahat, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di sini akibat kecederaan di kepala dan badannya.

SEREMBAN: Seorang anggota Umno  maut, manakala 77 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan sebuah lori treler di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar ke Port Dickson, di sini awal hari ini.

Roha Dol, 79, anggota wanita Umno Batu Pahat, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini akibat kecederaan di kepala dan badannya.

Pengarah hospital berkenaan Dr Jaafar Che Mat berkata mangsa disahkan meninggal dunia 5.40 pagi. Kesemua yang cedera pula dirawat sebagai pesakit luar di hospital itu.

Dalam kejadian pukul 2.58 pagi itu, dua bas berkenaan yang membawa anggota Umno, dalam perjalanan ke Melaka dan Batu Pahat, Johor setelah menghadiri sambutan ulang tahun Umno ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila bas yang membawa 40 anggota Puteri Umno dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu yang hendak ke Melaka, terlebih dahulu melanggar belakang sebuah treler ketika tiba di tempat kejadian.

Langgar belakang bas

Katanya, sebuah lagi bas yang membawa 44 anggota Umno, sedang dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat pula mengekori dari belakang, tetapi gagal  mengelak bas di hadapan itu lalu melanggar bahagian belakang bas berkenaan.

Pegawai Turus Trafik Negeri ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi berkata semua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk menerima rawatan.

Seorang mangsa, Mohd Hafizan M. Senin, 30, ketika ditemui berkata sewaktu kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila terdengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran itu.

Dia yang menaiki bas belakang kemudiannya tercampak ke tengah-tengah bas menyebabkannya mengalami kecederaan ringan.

“Saya berada dalam bas di belakang apabila tersedar saya nampak dua buah bas dengan sebuah lori sudah berlanggar dan saya nampak ada cedera, ada yang teruk juga,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Raja Sulaiman Busu, 59, berkata, ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana saya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

MB rakam takziah

Turut hadir melawat mangsa di hospital adalah Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dan 77 yang cedera dalam kemalangan itu.

“Saya berasa dukacita atas kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada mereka dan kita berasa yakin ini tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang dan bekerja kuat demi mempertahankan martabat maruah bangsa kita,” katanya kepada pemberita semasa melawat mereka yang menerima rawatan di hospital itu.

Sementara itu, Noraini berkata, setakat ini semua yang menerima rawatan sebagai pesakit luar sudah dibawa pulang dan hanya tiga lagi masih menerima rawatan.

Katanya, jenazah Allahyarham Roha sedang diuruskan pihak hospital sebelum boleh dibawa pulang dan dikebumikan di kampungnya di Kampung Lubok Tengah, Batu Pahat, Johor.

“Saya juga merakamkan takziah dan kita harap kejadian ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan negara,” katanya.-Bernama

Tiada ulasan: