Sabtu, 3 Disember 2011

Skim TAWAS Diperluas

Oleh Sheridan Mahavera


GOMBAK : Kanak-kanak yang lahir di Selangor mulai 1 Januari 2008 layak untuk mendaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) walaupun telah mencapai umur melebihi setahun pada hari pendaftaran.

Ketika ini, pendaftaran TAWAS hanya boleh dibuat sebelum kanak-kanak ini menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kelonggaran ini dibuat bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak yang lahir di Selangor mendapat manfaat daripada kekayaan negeri.

"Kita melonggarkan syarat ini untuk memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak di Selangor mendapat faedah hasil pelaburan dengan TAWAS.

"Kita tidak mahu ada sekatan kepada kanak-kanak untuk mendapat manfaat hasil kekayaan negeri yang sepatutnya dinikmati oleh semua rakyat di Selangor," katanya pada Majlis Dialog Bersama Rakyat di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak sempena Program Khas Mesra Rakyat Daerah Gombak, semalam.

Kerajaan Selangor menghadiahkan tabung simpanan sebanyak RM100 bagi setiap pendaftaran TAWAS yang berjaya. Pada usia 18 tahun, mereka ini berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada pelaburan dalam TAWAS.

Sehingga September 2011, Kerajaan Negeri telah mengagihkan peruntukan lebih RM2.7 juta kepada 27,212 kanak-kanak yang telah telah mendaftar dengan TAWAS.

Pada dialog itu, Menteri Besar menegaskan beliau akan menghentikan projek pembangunan yang sedang dalam pembinaan jika didapati pemaju yang sama telah gagal menyiapkan projek terdahulu atau projek yang telah siap itu tidak sempurna sehingga menimbulkan masalah kepada pembeli.

Katanya, Kerajaan Negeri sekarang tidak lagi ‘pejam mata' jika pemaju dengan sengaja telah gagal mematuhi syarat perjanjian seperti yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan yang terdahulu.

"Kita tidak akan membenarkan pemaju-pemaju yang bermasalah berurusniaga di Selangor kerana kebajikan rakyat menjadi keutamaan kepada pentadbiran kerajaan sekarang," katanya.

Menteri Besar sebelum itu merasmikan Skim Ceria Fasa 2 di Flat Taman Samudera yang bertujuan memberikan imej lebih ceria dan tempat tinggal selesa kepada penghuni-penghuni rumah kos rendah.

Beliau juga menghadiri Kenduri Rakyat di Masjid Zakaria, Gombak, selepas menunaikan Solat Jumaat.

Tiada ulasan: