Sabtu, 3 Disember 2011

Skim Ceria Fasa Dua Beri Manfaat Kepada Lagi Ramai Pangsapuri dan Flat

Oleh Lizawati Madfa


BATU CAVES : Rakyat Selangor terus berpeluang menikmati keuntungan dan kelebihan hasil inisiatif kerajaan menaikkan kualiti dan taraf hidup rakyat dengan pelancaran Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) fasa kedua.

Majlis pelancaran program CERIA ini dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Flat Samudera, Taman Samudera dengan dihadiri oleh penghuni flat dan tetamu-tetamu kehormat lain.

"Tujuan konsep perkongsian ini adalah untuk menggalakkan penyertaan penghuni secara langsung seterusnya menimbulkan rasa penghargaan dan pemilikan kepada usaha dan sumbangan mereka sendiri dalam skim seumpama ini," ujar Abdul Khalid.

"Jika usaha kerjasama ini berjaya bermakna tercapailah konsep 'Selangorku' kerana negeri Selangor ini milik rakyat. Maka rakyat perlu mengambil sikap berkongsi dengan kerajaan bagi bersama-sama membangunkan negeri ini."

Program ini telah melepasi fasa pertama yang melibatkan 18 kawasan sebelum ini manakala fasa kedua akan melibatkan 45 kawasan perumahan.

Sewaktu ucapan pembukaan majlis, EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad menjelaskan bahawa melalui program ini, kerajaan memperkenalkan sistem 'perkongsian kos' antara rakyat dan kerajaan dimana 20 peratus ditanggung oleh rakyat manakala 80 peratus lagi ditanggung kerajaan.

"Konsep 80-20 ini merupakan nisbah yang rendah dan kita juga telah menerapkan konsep ini kepada pangsapuri-pangsapuri kos sederhana dengan nisbah 60-40.

"Jika bandingkan skim ini dengan kerajaan pusat yang turut menggunakan skim ini, skim yang kerajaan negeri amalkan ini jauh lebih rendah dan menguntungkan rakyat berbanding kerajaan persekutuan yang mengenakan konsep 50-50," Iskandar berkata.

Dalam pada itu, Pengerusi Flat Taman Samudera, Mohd Kori Ab Rahman turut menyatakan kegembiraan menerima skim CERIA ini dan berterima kasih dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Beliau juga berharap kerajaan negeri meneruskan usaha murni sebegini kerana bukan sahaja dapat mencantikkan kawasan malah boleh mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

"Lapan belas tahun duduk dekat sini dan ini kali pertama dan ucap terima kasih dan kalau boleh longkang-longkang juga dapat dibersihkan dan saya amat genbira dan mengucapkan terima kasih", kata seorang lagi penduduk Norzaliza Mohd Khalid.

Kos keseluruhan bagi mengecat dan mencantikkan Flat Samudera berjumlah RM360,000 iaitu meliputi 6 blok bangunan bersamaan 600 unit rumah.

Bagaimanapun, Ahli Jawatan Kuasa Zon 11 telah menyumbang sebanyak RM16,900 bagi mengurangkan beban penduduk dan penghuni flat hanya perlu membayar 5 peratus dari jumlah itu iaitu RM16,900 bersamaan dengan RM29 setiap keluarga.

Tiada ulasan: