Ahad, 4 Disember 2011

Rasuah: BN bagai burung unta membenamkan kepala

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Amalan rasuah dianggap semakin buruk di Malaysia apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 untuk negara kita jatuh lagi untuk kali ketiga berturut-turut apabila kedudukan Malaysia merudum ke tangga ke-60 daripada 183 negara.

Tahun lalu Malaysia berada di tangga ke-56. Pada tahun 1995 di mana CPI yang dikendalikan oleh Transparency International (TI), Malaysia berada di tangga ke-23.

Sewaktu Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Malaysia berada di tangga ke-37. Ini menunjukkan Malaysia di segi persepsi amalan rasuah telah merosot hampir dua kali ganda sejak 2003.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, lebih teruk lagi ialah apabila laporan TI yang telah mengkaji selidik 1,000 responden, telah mengenal pasti bahawa polis dan parti-parti politik merupakan institusi-institusi yang dianggap sebagai paling korup di negara kita.

Katanya, kebanyakan daripada responden juga percaya bahawa tahap rasuah atau korupsi di Malaysia akan berkekalan untuk tiga tahun akan datang.

Menurutnya, Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali juga menyatakan bahawa CPI bagi Malaysia akan terus menurun kerana “elemen-elemen kerajaan” yang memudahkan “rasuah besar” masih lagi berleluasa.

Dengan keadaan rasuah yang meruncing itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata mendakwa kedudukan CPI bagi Malaysia yang menurun itu adalah “subjektif” dan “boleh dipersoal”, dan menambah bahawa kaji selidik yang berdasarkan persepsi tidak seharusnya digunakan sebagai kaedah penilaian.

“Ini adalah satu contoh penafian oleh kerajaan persekutuan Barisan Nasional yang tidak ingin mengaku bahawa keadaan rasuah semakin teruk walau pun Perdana Menteri telah menjalankan pelbagai program seperti Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Katanya, kerajaan persekutuan BN jelas mengamalkan “double-standards” dengan menolak laporan CPI yang dihasilkan oleh TI kerana ia memberi pandangan yang negative kepada kerajaan, sebaliknya BN menerima Indeks Daya Saing Global (GCI) oleh World Economic Forum (WEF) sebagai objektif kerana gambaran yang lebih positif.

“Sikap tidak sedar diri ini amat jelas apabila kerajaan BN memuji diri kerana kedudukan Malaysia telah meningkat 5 tangga dari 26 kepada 21 dalam GCI WEF pada tahun ini.

“Kenapa GCI tidak dikatakan sebagai satu kaedah penilaian yang subjektif? Kenapa kaedah penilaiannya tidak dipersoal? Adakah begitu kerana laporannya memberi gambaran yang lebih positif?

“Kerajaan BN tidak seharusnya bersikap seperti burung unta yang membenamkan kepala dalam tanah, sebaliknya kerajaan perlu mengaku bahawa negara kita sedang mengalami masalah rasuah yang serius,” ujarnya.

Menurut Guan Eng, jika penilaian TI telah dilakukan selepas skandal “lembu dan kondo” sebanyak RM250 juta telah didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, tahap penurunan CPI Malaysia barang kali akan lebih teruk.

Tambahnya, keengganan seorang pakar ekonomi yang terpelajar seperti Husni untuk menghadapi kebenaran menunjukkan bahawa tidak ada harapan untuk membasmi rasuah selagi negara berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN yang sanggup menggadaikan prinsip untuk kepentingan politik.

Tiada ulasan: