Selasa, 20 Disember 2011

PRU-13: Pakatan S’gor kekal ‘status quo’

DAP akan bertanding 15 kerusi, PKR (21) dan PAS (20), sama seperti pada PRU 2008, kata Teresa Kok.


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat negeri Selangor bersetuju untuk mengekalkan ‘status quo’ dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).

‘Status quo’ yang dipersetujui bersama ialah DAP akan bertanding 15 kerusi, PKR (21) dan PAS (20), sama seperti pada PRU 2008, kata Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pada sidang media di sini hari ini.

Menjawab mengenai dakwaan rancangan DAP untuk mengambil kerusi Menteri Besar, Teresa menjelaskan bahawa parti yang menang paling banyak kerusi akan diberi keutamaan dan dari 56 kerusi Dun Selangor itu, DAP hanya bertanding 15 kerusi berbanding PKR dan PAS.

“Saya rasa hairan mengapa timbul kata DAP mahu kerusi Menteri Besar, dan daripada pengaruh di Selangor tidak mungkin perkara itu terjadi. Pihak yang menang paling banyak kerusi yang akan diberi keutamaan.

“Tiada perbincangan siapa akan jadi Menteri Besar. Calon (Menteri Besar) pun masih belum boleh ditentukan. Itu pun sekiranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu menjadi calon dan sebaliknya hanya mahu bertanding kerusi parlimen sahaja,” jelas beliau.

Usaha terdesak Umno

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman pula berkata dakwaan DAP merancang mengambil kerusi Menteri Besar itu hanya usaha terdesak Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu agar tidak menyokong calon Pakatan dalam PRU akan datang.

Ujar beliau, DAP hanya mencadangkan agar Pakatan Selangor membenarkan parti itu meletak calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Pada masa sama, persoalan jawatan Menteri Besar tidak timbul memandangkan Pakatan berpuas hati dengan prestasi Abdul Khalid dan tiada sebarang rancangan untuk menukar beliau.

“Kami yakin bahawa melalui kerjasama dan semangat saling menyokong yang ditunjukkan selama ini prestasi Selangor di bawah Abdul Khalid sebagai Menteri Besar akan bertambah baik bukan sebaliknya.

“Cadangan DAP untuk letak calon Melayu dengan tujuan supaya DAP boleh membebaskan diri dari imej mereka dipenjarakan ditimbulkan oleh Umno,” katanya yang membaca kenyataan bersama yang mewakili Pakatan.

Tiada ulasan: