Sabtu, 10 Disember 2011

Polis ‘benar’ Azmin berceramah di Sarawak tapi….

Oleh: Nabihah Hamid

Azmin tetap meneruskan ceramah meskipun tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara.


KUCHING : Jika sebelum ini polis menghalang program ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, semalam kejadian yang sama pula berlaku kepada Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali di Matang Jaya. Petrajaya.

Menurut Azmin, beliau dihalang untuk berucap dan polis pula enggan memberi permit.

Namun katanya setelah berunding dengan polis, beliau dibenarkan meneruskan ceramahnya tetapi tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara.

“Ceramah boleh diteruskan tanpa sound system. Saya hilang suara kerana perlu berucap tanpa microphone (pembesar suara)” katanya.”

ADUN Batu Lintang, See Chee How


ADUN Batu Lintang, See Chee How di ceramah yang sama berkata pihak penganjur memohon permit seminggu lebih awal kepada pihak polis namun tiada sebarang respon diberikan.

“Tindakan polis menghalang kami jelas bahawa mereka (Umno-BN) semakin terancam dengan sokongan penduduk Sarawak kepada Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.

Tambahnya, walaupun dengan sekatan polis dan cuaca yang hujan namun ia tidak menghalang hampir 300 orang hadir untuk mendengar ceramah.

Kira-kira 20 orang anggota polis yang mengawasi di kawasan ceramah.

“Kita tiada buat iklan yang meluas mengenai ceramah ini, hanya sekadar mengedarkan risalah tetapi sambutan dari orang ramai menggalakkan walaupun hujan dan tanpa ‘sound sistem’,”

Turut hadir ke ceramah tersebut ialah Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian,Penasihat PKR Sarawak, Habsah Harun dan Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli.

Tiada ulasan: