Rabu, 21 Disember 2011

Perkasa jangan keluar kenyataan tidak berasas

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas kenyataan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mendakwa penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.

“Bagi DPP Malaysia, kenyataan seperti ini seolah-olah tidak mahu negara ini berganjak ke arah sistem pilihanraya di Malaysia yang lebih adil, telus dan penuh dengan amalan demokrasi yang tinggi,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, DPP Malaysia merasa hairan bagaimana Perkasa boleh mempertahankan agar dakwat kekal tidak digunakan dalam keadaan semua pihak bersetuju supaya ianya digunakan.

Baginya, alasan bahawa Malaysia adalah negara maju dan canggih sehingga tidak memerlukan dakwat kekal adalah alasan yang yang amat dangkal.

Ini, katanya kerana selama ini dalam keadaan negara tidak meggunakan dakwat kekal, selama itulah berlakunya pelbagai penipuan dan penyelewengan hasil dari daftar pemilih.

“Persoalannya, apa yang Perkasa khuatirkan dengan penggunaan dakwat kekal?

“Mengapakah Perkasa gusar sangat terhadap kebenaran yang akan disingkapkan hasil dari penggunaan dakwat kekal dan apakah kerana ada kuasa yang bakal tergugat dalam PRU ke 13 nanti sehingga boleh menjejaskan masa depan Perkasa?” soalnya.

Selain itu, ujarnya DPP Malaysia merasa pelik kerana Perkasa mendakwa ramai pengundi Melayu tidak keluar mengundi jika dakwat kekal digunakan.

Beliau mempersoalkan atas dasar apakah dakwaan Perkasa itu.

Soalnya lagi, mengapa pula orang Melayu tidak mahu turun mengundi hanya kerana ada dakwat kekal digunakan.

Jika alasan syarak digunakan, ujarnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah meluluskan dan tiada apa-apa masalah dalam menggunakan dakwat kekal.

Jelasnya, orang Melayu hanya tidak turun mengundi jika ada ancaman atau ugutan terhadap mereka daripada turun mengundi.

Menurutnya, dalam keadaan negara aman seperti Malaysia, orang Melayu tidak perlu risau untuk turun mengundi kerana tiada siapa berhak mengugut orang Melayu daripada menunaikan hak dan kewajipan mereka.

Beliau menjelaskan mengundi dalam pilihan raya adalah suatu kewajipan kerana ia berkaitan memilih pemimpin yang akan memimpin negara dan masa depan rakyat.

Oleh itu, katanya Perkasa tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas seperti itu.

Perkasa, kata beliau sepatutnya mengalu-alukan usaha SPR yang mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihanraya di Malaysia yang telah lama diperkatakan orang.

“Lebih dari itu, Perkasa perlu memujuk orang Melayu turun mengundi bagi membuat perubahan di dalam negara ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: