Sabtu, 17 Disember 2011

‘NFC memikul biawak hidup, bukan Shahrizat’

Ketua Umno bahagian Cheras menjelaskan bahawa beliau menggunakan simpulan bahasa dalam isu NFC itu.



PETALING JAYA: Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee hari ini menafikan beliau menggelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Shahrizat Abdul Jalil sebagai biawak.

“Saya tidak berkata begitu,” kata Syed Ali ketika mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di pejabat Umno beliau semalam yang disifatkannya sebagai salah faham.

“Mereka mendakwa diri mereka sebagai ahli NGO telah datang ke sini. Menurut mereka, bahawa saya menggelar Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Shahrizat Jalil sebagai biawak.

Sementara itu, Syed Ali dalam blognya menjelaskan beliau telah menggunakan kata ‘memikul biawak hidup’ terhadap isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang kini menjadi perbualan umum dan bukannya ditujukan kepada Shahrizat.

Ketua Umno bahagian Cheras itu merupakan antara pemimpin Umno akar umbi yang lantang mendesak Shahrizat meletakkan jawatan berikutan tercetusnya skandal NFC.

Minta Shahrizat letak jawatan

Pada hari Selasa lalu, Syed Ali berkata kebisuan pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang juga suami Shahrizat untuk menjelaskan isu NFC ketika berhadapan dakwaan parti pembangkang boleh mengelirukan orang ramai.

Justeru itu beliau meminta Shahrizat meletakkan jawatan.

Syed Ali turut berkata beliau akan membuat kenyataan berkenaan perkara ini akan dikeluarkan oleh pucuk pimpinan Umno tertinggi dalam masa terdekat.

Isu NFC timbul berikutan pendedahan kegagalan projek tersebut seperti dilaporkan dalam laporan ketua Audit Negara pada bulan Oktober.
Isu ini kemudiannya dibangkitkan oleh parti pembangkang termasuk PAS dan PKR.

Tiada ulasan: