Khamis, 8 Disember 2011

NFC: Debat 12 Dis tak jadi, Rafizi beri Khairy masa lagi

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Debat berkenaan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) antara Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin tidak menjadi kenyataan pada Isnin ini sebagaimana telah dirancang.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Rafizi (gambar) berkata Khairy menerusi suratnya bertarikh 6 Disember lalu mengatakan bahawa tidak dapat menerima jemputan berdebat mengenai NFC pada tarikh asal 12 Disember kerana bertembung dengan program lain.

Bagaimanapun Rafizi berkata, undangan debat masih terbuka dan Khairy boleh memilih mana-mana tarikh yang dirasakan sesuai sama ada tahun ini ataupun tahun depan.

“Sedang saya berterima kasih kerana beliau akhirnya menjawab jemputan debat yang dibuat pada 18 November 2011, saya kesal kerana beliau mengambil masa tiga minggu untuk memaklumkan perkara tersebut seolah-olah beliau cuba melengah-lengahkan debat ini yang telah pun dipersetujui beliau,” katanya.

Rafizi berkata beliau telah mengutus jawapan balas hari ini, yang antara lain menekankan beliau sudi meluangkan masa pada mana-mana tarikh dalam tahun ini dan tahun depan untuk memastikan debat tersebut dapat diadakan.

“Saudara Khairy hanya perlu memilih satu tarikh yang sesuai untuk beliau,” katanya.

Kata Rafizi, beliau mencadangkan supaya debat tersebut diadakan di PWTC untuk memberi keselesaan dan ketenangan kepada Khairy apabila dilangsungkan di ibu pejabat Umno sendiri.

“Sekiranya setelah kesemua kelonggaran ini beliau masih berdolak dalih dan tidak memberikan satu tarikh menjelang 12 tengah hari 12 Disember, saya menyimpulkan beliau tidak berani untuk berdebat dalam hal ini,” katanya lagi.

Katanya, jika keadaa itu berlaku, PKR akan meneruskan debat membongkar penyelewengan NFC pada 19 Disember ini.

“Sekiranya Saudara Khairy tiba-tiba berubah fikiran menjelang tarikh tersebut, penyertaan beliau dalam debat tersebut dialu-alukan.

“Sebagai pemimpin Umno yang paling lantang mempertahankan NFC, wajarlah Saudara Khairy meluangkan sedikit masa untuk menerangkan kepada rakyat beberapa keputusan pelaburan yang dibuat NFC yang menimbulkan kemarahan rakyat, termasuklah penjelasan beliau sebelum itu bahawa pembelian dua (unit) kondominium mewah adalah pelaburan bijak yang dibuat NFC,” katanya lagi.

Tiada ulasan: