Sabtu, 17 Disember 2011

Nasrudin: Orang muda tolak demonstrasi, ceramah PAS

Ketua Pemuda PAS berkata, mereka lebih gemar dengan teknologi internet.



PETALING JAYA: Pemuda PAS mula menggunakan teknologi maklumat termasuk filem pendek dalam internet bagi menggantikan demontrasi dan protes jalanan atas alasan kurang mendapat sambutan.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, anak-anak muda kurang hadir ceramah PAS kerana mereka lebih gemar dengan teknologi internet.

Beliau menambah mutakhir ini, penganjuran demonstrasi tidak menarik jumlah yang diharapkan kecuali Bersih mansuhkan ISA dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Demonstrasi bantah kezaliman di keduataan Syria, Libya dan Mesir sebelum ini pun hanya dihadiri sekitar ratusan para peserta tegar demonstrasi. Begitu juga himpunan aman membantah isu Mykad juga tidak mencapai angka yang diharapkan “…. saya akui demonstrasi mempunyai impaknya yang tersendiri, cuma kalau terlalu kerap di adakan, nanti yang hadir hanya seribu dua, kemudian selepas demo dan meluahkan bantahan, semua pulang dan berakhir begitu sahaja.

“Hanya sekadar mampu menunjukkan perasaan marah dan benci terhadap perbuatan menghina hukum Allah, namun pihak berkuasa tetap degil dan enggan bertindak, masyarakat pula masih terlalu ramai yang terperangkap dalam kejahilan yang mengepung mereka,” katanya.

Nasrudin berkata, pengunaan filem pendek ini mendapat tempat di hati anak-anak muda, filem Oley hitnya melebihi 15, 000 penonton dalam tempoh 24 jam.

Pengecut dan taliban

Katanya, bukan mudah untuk mengadakan demonstrasi yang disertai 15, 000 orang.

Bagaimanapun, menurut Nasrudin ada pihak yang tidak suka pendekatan baru itu dan menganggap tidak menganjurkan demonstrasi ini sebagai pengecut.

“Mereka kata saya ketua Pemuda (PAS) paling pengecut! Letak jawatan sahaja lah! Saya hanya tunduk diam sambil menahan dan mengawal emosi.

“Menidakkan saya dan menggelarkan saya sebagai pengecut kerana semata – mata tidak menganjurkan demonstrasi adalah tidak benar.
“Usah dihitunglah berapa kali saya menyertai dan menganjurkan demonstrasi sebelum ini termasuklah keluar masuk lokap dan mahkamah.

“Isunya bukan saya takut …. tetapi isunya ialah pendekatan dan imej. Kerana kekerapan demonstrasi ini jugalah ada pihak termasuk pengamal media menggelarkan Pemuda PAS Taliban,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: