Selasa, 6 Disember 2011

Memorandum Dong Jiao Zong kepada PM (Bhg 1)

Dong Jiao Zong

(1) PENDAHULUAN

Negara kita merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa, bahasa, budaya dan agama. Perlembagaan negara menghormati pengekalan dan pembangunan bahasa, budaya dan agama yang berbagai-bagai.

Rukun Negara memperakukan hakikat ini dan menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak. Jelas sekali, dalam konteks Rukun Negara, masyarakat berbilang bangsa bukan faktor yang menghalang kemajuan negara, sebaliknya kepelbagaian budaya dan bahasa masyarakat berbilang bangsa merupakan aset dan kelebihan negara kita.

Selain itu, penerimaan dan pembangunan pendidikan bahasa ibunda sesuatu bangsa dan pemilihan jenis pendidikan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka merupakan hak asasi manusia yang diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Semasa rakyat berbilang bangsa bersama-sama menuntut kemerdekaan negara, Ordinan Pelajaran 1957 yang digubal ketika itu menerima dasar pendidikan multiculturalism yang memenuhi kehendak pendidikan bahasa ibunda. Ini jelas dinyatakan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ditetapkan oleh seksyen 3 Ordinan Pelajaran 1957 yang menyatakan bahawa "The educational policy of the Federation is to establish a national system of education acceptable to the people as a whole which will satisfy their needs and promote their cultural, social, economic and political development as a nation, with the intention of making the Malay language the national language of the country whilst preserving and sustaining the growth of the language and culture of people other than Malays living in the country."

Malangnya, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961 telah memutarbelit dan mengubah dasar pendidikan kebangsaan tersebut iaitu dasar pendidikan multiculturalism / multilateral kepada dasar pendidikan yang unilateral atau sistem satu aliran sekolah. Pada masa sekarang, Akta Pendidikan 1996 masih terus melaksanakan dasar pendidikan yang unilateral tersebut. Ini menyebabkan sekolah-sekolah aliran bahasa Cina dan bahasa Tamil menghadapi layanan yang tidak adil selama ini, terutamanya masalah-masalah perguruan, peruntukan wang dan pembinaan sekolah masih tidak diselesaikan.

Sehubungan itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), iaitu Dong Jiao Zong mengemukakan memorandum ini kepada Perdana Menteri dan berharap pihak kerajaan memberi pertimbangan wajar dan menyelesaikan masalah-masalah pendidikan berkenaan. Memorandum ini mengemukakan 15 isu yang meliputi 43 kehendak.

(2) MASALAH PENDIDIKAN DAN CADANGAN PENYELESAIAN

1. Penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Semula Sistem Pendidikan Negara Yang Dianggotai Oleh Wakil Pertubuhan Setiap Aliran Sekolah

Pada tahun 2007, Dong Jiao Zong telah mengemukakan satu memorandum berkenaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 kepada Kementerian Pelajaran. Kami mencadang agar Kementerian Pelajaran mengadakan platform untuk berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan setiap aliran pendidikan bagi mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh setiap aliran sekolah.

Pada tahun 2009, Dong Jiao Zong juga mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri dan menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara. Selain itu, pada tahun 2010, Dong Jiao Zong juga mengemukakan memorandum berkenaan Rancangan Malaysia Ke-10 kepada kerajaan dan sekali lagi menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara.

Pada 26 Julai 2011, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Muhyiddin berkata, pihak Kementerian Pelajaran telah menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Abd.Ghafar untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara. Laporan awal akan disiapkan pada penghujung tahun ini dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri. Seterusnya, kajian yang menyeluruh akan dijalankan manakala hala tuju pendidikan negara akan diumumkan kepada rakyat.

Kehendak kami:

1. Memandangkan kajian semula sistem pendidikan merupakan satu perkara yang mustahak dan memberi impak yang besar, maka jawatankuasa kajian semula sistem pendidikan negara yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran seharusnya menjemput pertubuhan-pertubuhan dari setiap aliran sekolah termasuk Dong Jiao Zong untuk menganggotai dan menyertai jawatankuasa tersebut. Ia harus memastikan kedudukan sama rata, layanan adil dan pembangunan yang sistematik bagi semua aliran sekolah, terutamanya dari aspek undang-undang, dasar dan pelaksanaan.

2. Seperti diketahui umum, Perdana Menteri bercita-cita menjadi seorang perdana menteri kepada semua rakyat, dan berpendapat semua aliran sekolah merupakan aliran perdana dan kelebihan negara kita, dan kerajaan tidak akan menghapuskan sekolah rendah Cina dan Tamil untuk memastikan negara kita dapat melahirkan tenaga manusia yang kreatif dan berinovasi. Oleh itu, Dong Jiao Zong berharap pandangan YAB tersebut dapat dirangkumi ke dalam kajian semula sistem pendidikan negara. Kerajaan harus melaksanakan dasar pendidikan multiculturalism / multilateral bagi memastikan pengekalan dan pembangunan adil setiap aliran sekolah, menghormati aspirasi dan hak pendidikan bahasa ibunda serta pemilihan aliran pendidikan. Dong Jiao Zong pernah mengemukakan memorandum berkenaan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 kepada kerajaan. Kami berharap kerajaan memberi pertimbangan wajar dan menerima pandangan dan kehendak kami dalam menggubal hala tuju pendidikan negara kita.

2. Memperuntukkan Wang Dan Tanah Secara Sistematik Dan Adil Serta Membatalkan Syarat-Syarat Yang Tidak Adil Dalam Pembinaan Sekolah

Kebanyakan sekolah rendah Cina ditubuhkan sebelum kemerdekaan negara kita. Selepas itu, hanya sebilangan kecil sekolah rendah Cina diberi kelulusan penubuhannya. Peruntukan wang dan tanah yang diberikan kepada sekolah rendah Cina dan pembinaan sekolah rendah Cina yang baru adalah begitu tidak adil dan tidak sistematik. Ini menyebabkan kawasan yang padat dengan penduduk Cina dan kawasan pembangunan baru menghadapi masalah kekurangan atau ketiadaan sekolah rendah Cina. Bilangan sekolah rendah Cina di sesetengah kawasan tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat.

Pada hakikatnya, pembinaan sekolah rendah Cina iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baru menghadapi pelbagai kesusahan atau halangan. Ini termasuk kesusahan mendapat kelulusan untuk menubuhkan sekolah baru. Walaupun terdapat sebilangan SJKC baru mendapat kelulusan untuk ditubuhkan, ia masih mengambil masa yang panjang untuk disiapkan kerana menghadapi masalah kekurangan tanah dan peruntukan pembangunan.

Ini menyebabkan pembinaan sekolah baru dan perpindahan sekolah sedia ada bagi SJKC mengambil masa yang lama. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran menetapkan beberapa syarat yang tidak munasabah, termasuk menetapkan bahawa tabung pembinaan SJKC hendaklah mencapai 80% daripada kos pembinaan barulah permohonannya dipertimbangkan. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran juga menetapkan SJKC menanggung tanah dan kos pembinaan sekolah, manakala tanah tersebut adalah bukan tanah rizab sekolah yang dimiliki oleh kerajaan. Sehingga sekarang, masalah-masalah tersebut masih belum diselesaikan.

Pada tahun 1999 hingga 2008, kerajaan telah meluluskan pembinaan 16 buah SJKC baru dan perpindahan 75 buah SJKC sedia ada. Sehingga 15 Julai 2011, hanya 8 buah SJKC baru dan 54 SJKC yang dipindah siap dibina. Kini, terdapat 3 buah SJKC baru masih dalam pembinaan, manakala pembinaan 5 buah SJKC baru masih belum dimulakan. Selain itu, terdapat 21 buah SJKC yang dipindah berkenaan masih belum siap dibina.

Dalam setiap Rancangan Malaysia, kerajaan telah membina banyak Sekolah Kebangsaan mengikut keperluan pembangunan. Akan tetapi, kerajaan tidak membina SJKC yang mencukupi mengikut keperluan pembangunan. Selama ini, hanya sebilangan kecil SJKC baru yang diluluskan pembinaannya oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia.

Sehingga kini, kerajaan masih tidak mengumumkan bilangan SJKC baru yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015). Selain itu, maklumat berkenaan tempat pembinaan SJKC baru, peruntukan pembangunan, agihan tanah rizab sekolah dan jadual waktu pembinaan sekolah juga tidak diumumkan. Oleh itu, rakyat tidak tahu sama ada kerajaan akan membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Selain itu, kerajaan tidak harus mengguna perpindahan SJKC sedia ada sebagai ganti kepada pembinaan SJKC yang baru.

Mengikut garis panduan perancangan sekolah yang ditetapkan oleh kerajaan, sebuah sekolah rendah dengan tanah seluas 5 hingga 10 ekar hendaklah disediakan bagi setiap 3000 hingga 7500 orang penduduk (600 hingga 1500 unit rumah) atau 420 hingga 1050 orang murid dalam sesuatu kawasan kejiranan. Jarak di antara rumah kediaman dan sekolah rendah adalah sedekat 0.4 hingga 0.8 kilometer dan mengambil masa 10 minit untuk sampai ke sekolah. Selain itu, kepadatan maksimum adalah sebanyak 210 orang murid bagi setiap ekar tanah dan 35 orang murid bagi setiap kelas.

Jelasnya, kerajaan mempunyai satu sistem perancangan dan pembinaan sekolah untuk menubuhkan beberapa sekolah dalam sesuatu kawasan komuniti dan menyediakan persekitaran yang baik untuk murid-murid bersekolah berdekatan dengan rumah kediaman dan memudahkan perjalanan ko-kurikulum. Akan tetapi, dalam pelaksanaannya kerajaan mengutamakan pembinaan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan, dan tidak menyediakan tanah dan peruntukan pembangunan untuk membina SJKC dan SJKT baru secara Sistematik.

Pada tahun 1970 hingga Januari 2011, bilangan murid Sekolah Kebangsaan (SK) semakin bertambah dan dalam tempoh itu bilangan Sekolah Kebangsaan juga bertambah sebanyak 1571 buah. Dalam tempoh ini, jumlah murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) turut bertambah tetapi pada keseluruhannya bilangan SJKC telah berkurangan sebanyak 55 buah walaupun kerajaan telah meluluskan pembinaan sejumlah kecil SJKC yang baru. Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) turut semakin berkurangan sebanyak 134 buah.

Kehendak kami:
1. Kerajaan harus menggubal dan melaksanakan satu sistem pembinaan sekolah baru untuk semua aliran sekolah, sama seperti cara pembinaan sekolah kebangsaan yang baru. Peruntukan wang dan tanah hendaklah disediakan bagi pembinaan sekolah rendah Cina, Tamil dan sekolah-sekolah lain serta dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia, bajet tahunan, pelan dan projek pembangunan pendidikan Kementerian Pelajaran supaya dapat menyelesaikan masalah kesesakan murid dan kekurangan sekolah rendah Cina dan Tamil.

2. Kerajaan harus menetapkan dan mengagihkan tanah rizab sekolah kepada semua aliran sekolah untuk pembinaan sekolah, termasuk merancang dan membina sekolah setiap aliran mengikut konsep sekolah komuniti, struktur penduduk dan keperluan pendidikan di samping mengadakan piawaian perancangan dan pembinaan pelbagai aliran sekolah (Contohnya, pembinaan sebuah sekolah rendah bagi setiap 3000-7500 orang penduduk atau 600-1500 unit rumah). Ia hendaklah dimasukkan ke dalam garis panduan perancangan sekolah. Kerajaan harus mengeluarkan pekeliling kepada jabatan-jabatan yang berkaitan bagi melaksanakan dasar perancangan dan pembinaan pelbagai aliran sekolah.

3. Kerajaan harus membatalkan syarat-syarat yang tidak adil dalam pembinaan sekolah rendah Cina dan Tamil. Ini termasuk syarat-syarat yang menetapkan SJKC hendaklah mempunyai dana yang melebihi 80% kos pembinaan untuk pertimbangan kelulusan pembinaan sekolah/bangunan sekolah, serta menanggung sendiri tanah dan kos pembinaan sekolah/bangunan sekolah manakala tanah tersebut hendaklah bukan tanah rizab sekolah yang dimiliki oleh kerajaan.

4. Sekolah rendah Cina iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina merupakan salah satu aliran dalam sistem pendidikan negara kita dan seharusnya mendapat layanan yang adil. Kerajaan harus menanggung semua tanah dan kos pembinaan yang diperlukan untuk pembinaan SJKC baru dan SJKC yang berpindah serta menyelesaikan segala urusan dan prosedur pembinaan supaya pembinaan sekolah dapat disiapkan dan beroperasi dengan segera.

5. Kerajaan harus mengumumkan bilangan SJKC baru yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 berserta maklumat berkenaan tempat pembinaan sekolah, peruntukan pembangunan, agihan tanah rizab sekolah dan jadual waktu pembinaan sekolah. Mengikut maklumat yang dikumpul oleh Dong Jiao Zong setakat ini, terdapat 46 buah SJKC baru yang perlu dibina di kawasan-kawasan yang disebutkan. Kerajaan harus menyediakan peruntukan pembangunan dan tanah yang diperlukan untuk menyiapkan pembinaan SJKC baru tersebut agar memenuhi hak dan keperluan rakyat terhadap pendidikan di SJKC.

6. Kerajaan harus memastikan pembinaan SJKC baru dan SJKC yang mendapat kelulusan berpindah sejak tahun 1999 hingga kini tersebut dapat disiapkan dengan segeranya. Kerajaan harus memberi tanah dan peruntukan pembangunan yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pembinaan sekolah-sekolah berkenaan.

7. Kerajaan harus meluluskan pemohonan perpindahan SJKC dengan segeranya termasuk 10 buah SJKC yang disenaraikan dalam memorandum ini. Kerajaan harus memberi tanah dan peruntukan pembangunan kepada SJKC berkenaan supaya pembinaan sekolah dapat disiapkan dan beroperasi dengan secepat mungkin.

3. Peruntukan Pembangunan Yang Adil Dan Sistematik Kepada Semua Aliran Sekolah

Selama ini, peruntukan pembangunan yang diagihkan oleh kerajaan kepada SJKC adalah tidak adil dan tidak mencukupi. Ini menyebabkan SJKC perlu mengutip derma daripada masyarakat bagi menampung perbelanjaan pembinaan dan penyelenggaraan sekolah dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga SJKC yang membuat permohonan kerusi meja tidak diluluskan atau menghadapi pelbagai rintangan, sehingga terpaksa meminta Sekolah Kebangsaan memberi kerusi meja yang berlebihan kepada SJKC.

Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015) yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat pada 10 Jun 2010 tidak mengumumkan jumlah peruntukan pembangunan lima tahun bagi setiap aliran sekolah rendah. Kerajaan hanya mengumumkan pengagihan peruntukan pembangunan sejumlah RM280 juta kepada SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama, iaitu setiap jenis sekolah itu mendapat RM70 juta sahaja.

Untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah membentangkan bajet tahun 2012 di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2011. Dalam bajet itu, kerajaan mengumumkan pengagihan peruntukan pembangunan sejumlah RM250 juta kepada SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama. Oleh kerana kerajaan tidak memberi pengumuman yang jelas berkenaan projek dan peruntukan pembangunan SJKC dan sekolah-sekolah aliran lain, keadaan ini menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Selain menghadapi masalah kekurangan peruntukan pembangunan, SJKC juga menghadapi masalah kekurangan peruntukan pengurusan, termasuk bayaran bil air, elektrik, pembentungan dan sebagainya. Terdapat juga SJKC yang menerima surat amaran pembayaran bil atau pemotongan elektrik kerana tidak mampu membayar perbelanjaan tersebut. Ini menyebabkan pihak lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa terpaksa membayar sendiri bayaran yang tertunggak tersebut.

Pada masa sekarang, negara kita mempunyai lebih daripada 1290 buah SJKC. Mengikut Akta Pendidikan 1996, sekolah-sekolah ini berhak mendapat peruntukan pembangunan dan peruntukan pengurusan yang penuh di sisi undang-undang. Peruntukan pengurusan meliputi bayaran bil air, elektrik, telefon, pembentungan, internet, pembelian peralatan pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya. Peruntukan pembangunan pula meliputi perbelanjaan bagi pembinaan sekolah baru, pembinaan semula sekolah di tapak sama, pembinaan sekolah yang berpindah ke kawasan lain, pembinaan bangunan tambahan, penyelenggaraan sekolah, pembelian kerusi meja atau kelengkapan, dan lain-lain pembangunan fizikal.

Kehendak kami:

1. Kerajaan bertanggungjawab menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat dan harus menanggung semua belanja mengurus dan pembangunan setiap aliran sekolah termasuk SJKC dan perbelanjaan tersebut tidak harus ditanggung oleh sekolah.

2. Kerajaan harus memastikan semua SJKC dimasukkan ke dalam Sistem Bayaran Pukal dan segala belanja mengurus seperti bayaran bil air, elektrik, telefon, pembentungan, internet dan sebagainya harus dibayar secara langsung oleh kerajaan. Selain itu, kerajaan harus menambah peruntukan untuk menyelesaikan bayaran tunggakan. Belanja mengurus dan bayaran tunggakan tersebut tidak harus ditanggung oleh sekolah.

3. Kerajaan harus memberi peruntukan pembangunan secara adil dan sistematik berasaskan bilangan murid, pembangunan fizikal dan penyelenggaraan sekolah supaya setiap aliran sekolah dapat menikmati sumber pembangunan pendidikan negara secara adil. Ini termasuk peruntukan pembangunan untuk mengadakan bangunan, mengubah atau menambah premis yang sedia ada, mengadakan perabot atau kelengkapan bagi premis yang baru, diubah atau ditambah, dan sebagainya.

4. Kerajaan harus mengumumkan dengan segera maklumat terperinci berkenaan peruntukan dan projek pembangunan lima tahun bagi SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10. Selain itu, kerajaan harus menambah peruntukan pembangunan kepada keempat-empat jenis sekolah tersebut.

5. Kerajaan harus menggubal dan mengumumkan dengan segera garis panduan dan dokumen berkenaan permohonan peruntukan pembangunan oleh lembaga pengelola sekolah. Ini bagi memudahkan pihak lembaga pengelola mengemukakan projek pembangunan dan bajet kepada Kementerian Pelajaran bagi tujuan permohonan peruntukan pembangunan sekolah.

4.Menyelesaikan Masalah Kekurangan Guru SJKC Secara Sistematik

Selama ini, Kementerian Pelajaran masih tidak menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC. Mengikut statistik Kementerian Pelajaran, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, SJKC memerlukan seramai 2000 hingga 3000 orang GSTT atau guru sementara bagi mengisi jawatan guru yang kekosongan. Pada masa yang sama, faktor-faktor seperti persaraan dan melanjut pelajaran juga menyebabkan kekurangan sebanyak 600 hingga 800 orang guru di SJKC setiap tahun. Selain itu, bermula pada tahun 2010, Kementerian Pelajaran juga menambah baik norma perjawatan daripada 1.5n kepada 1.7n (1.5 orang bagi satu kelas kepada 1.7 orang guru bagi satu kelas) di semua aliran sekolah rendah secara berperingkat, dan ini telah menambah permintaan terhadap bilangan guru di SJKC. Maka kerajaan seharusnya menambah bilangan calon program latihan perguruan berdasarkan keperluan sebenar SJKC supaya masalah kekurangan guru dapat diatasi dengan sepenuhnya.

Selama ini, pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran selalunya mengatakan masalah kekurangan guru di SJKC adalah disebabkan oleh pemuda-pemudi keturunan Cina tidak berminat menjadi guru. Sebenarnya, pada setiap kali pengambilan calon bagi kursus latihan perguruan di institut-institut pendidikan guru (IPG), bilangan calon yang memohon mengikuti kursus latihan perguruan kategori SJKC melebihi bilangan pengambilan yang ditetapkan oleh pihak kementerian manakala ramai pemohon yang berkelayakan telah ditolak daripada mengikuti kursus latihan perguruan.

Walaupun pihak kementerian telah menambah bilangan guru di SJKC, tetapi bilangan guru mata pelajaran yang dilatih masih tidak mencukupi. Ini menyebabkan masalah kekurangan guru di SJKC terus berlanjutan dan tidak diselesaikan. Dalam usaha negara membangun ke arah menjadi sebuah negara maju, masalah kekurangan guru di SJKC masih tidak dapat diatasi. Keadaan yang tidak munasabah ini sukar diterima oleh rakyat. Pada hakikatnya, guru yang berkelayakan dan mencukupi adalah faktor utama untuk meningkatkan kualiti rakyat secara umumnya.

Pada masa yang sama, kian berlaku masalah kekurangan peruntukan di jabatan- jabatan pelajaran negeri sehingga menyebabkan SJKC tidak dapat mengambil/ mengupah guru sementara dan guru ganti dengan segera bagi mengisi jawatan guru yang kekosongan. Ini mengakibatkan impak negatif terhadap pembelajaran murid-murid dan urusan pentadbiran sekolah. Guru sementara juga menghadapi masalah bayaran gaji yang lambat, penurunan pangkat dan gaji serta masalah tuntutan "bayaran gaji lebihan" sehingga menyebabkan pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan PIBG terpaksa membuat pembayaran terdahulu. Keadaan ini adalah tidak adil. Selain itu, masalah-masalah lain yang dihadap meliputi perlantikan guru yang tidak berkelayakan Bahasa Cina untuk mengajar mata pelajaran yang perlu diajar dalam bahasa Cina, dan pemohon kursus latihan perguruan Bahasa Cina di kategori SJKC dipindah ke kategori Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan tanpa pengetahuan pemohon. Masalah ulangan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati di masyarakat Cina.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus mengadakan sistem dan program latihan perguruan berdasarkan keperluan sebenar SJKC bagi setiap mata pelajaran, termasuk menambah pengambilan pensyarah dan guru latih, menyelesaikan masalah pengambilan guru latih dan perlantikan guru untuk memastikan SJKC mempunyai guru yang mencukupi dan menyelesaikan masalah kekurangan guru dalam jangka masa pendek.

2. Kerajaan harus melatih guru dwibahasa yang menguasai bahasa Cina dan bahasa Malaysia untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC supaya pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Malaysia di kalangan murid. Pada masa sekarang, pihak Kementerian Pelajaran masih tidak mengadakan kursus perguruan untuk melatih guru bahasa Malaysia yang menguasai bahasa Cina dan bahasa Malaysia untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC. Tetapi, Kementerian Pelajaran telah mengadakan kursus untuk melatih guru yang menguasai dwibahasa iaitu bahasa Cina dan bahasa Malaysia untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Cina di Sekolah Kebangsaan.

3. Kerajaan harus mengadakan kursus penukaran khas (Special Conversion Course) untuk guru sementara SJKC yang telah mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia selama lima tahun dan ke atas supaya mereka memiliki kelayakan profesional untuk terus mengajar Bahasa Malaysia di SJKC.

4. Kerajaan harus memberi layanan yang adil kepada guru-guru sementara termasuk pembayaran gaji yang cepat dan tidak dilambat-lambatkan di samping pengambilan guru-guru sementara untuk dijadikan guru terlatih yang berkelayakan.

5. Kerajaan harus menyediakan peruntukan yang mencukupi sepanjang tahun untuk membolehkan SJKC mengambil guru sementara dan guru ganti dengan segera mengikut keperluan bagi mengisi jawatan guru yang kekosongan.

5. Memperkukuhkan Kelas-kelas Pendidikan Prasekolah Dan Pendidikan Khas Yang Menggunakan Bahasa Cina Sebagai Bahasa Pengantar di SJKC

Memandangkan kepentingan pendidikan awal terhadap perkembangan kanak-kanak, Kementerian Pelajaran mengumumkan pada tahun 2002 bahawa kelas-kelas prasekolah di semua aliran sekolah rendah akan dibuka secara berperingkat.

Mengikut statistik kementerian pada 31 Januari 2011, terdapat 5147 buah sekolah kebangsaan, 417 buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan 147 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil telah membuka kelas pendidikan prasekolah. Ini menunjukkan 88% SK, 32% SJKC dan 28% SJKT telah mempunyai kelas pendidikan prasekolah.

Sementara itu, terdapat 28 sekolah pendidikan khas yang bermedium bahasa Malaysia. Namun tidak terdapat sekolah pendidikan khas yang bermedium bahasa Cina dan hanya sebilangan kecil SJKC menubuhkan kelas pendidikan khas.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus memberi layanan adil kepada SJKC dan SJKT dengan membuka lebih banyak kelas pendidikan prasekolah dan menyediakan tenaga perguruan, bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan mencukupi. Kerajaan juga harus memastikan kelas-kelas pendidikan prasekolah yang diadakan di SJKC hendaklah menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama manakala di SJKT pula hendaklah dijalankan dalam bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar utama.

2. Kelas pendidikan khas yang diadakan oleh kerajaan di SJKC hendaklah menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama supaya murid-murid berkenaan berpeluang menerima pendidikan bahasa ibunda. (Bahagian pertama, bersambung)

*Teks di atas adalah sedutan daripada Memorandum Dong Jiao Zong kepada Perdana Menteri Mohd.Najib bin Abdul Razak pada 14 November 2011. Memorandum asal mengandungi data yang terperinci dipersembahkan dalam bentuk jadual.

Tiada ulasan: