Selasa, 6 Disember 2011

Memorandum Dong Jiao Zong kepada PM (Bhg 2)

Dong Jiao Zong


6. Penggunaan Bahasa Ibunda Sebagai Bahasa Pengantar Dan Bahasa Peperiksaan Di Semua Aliran Sekolah Rendah

Kecemerlangan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan merupakan kelaziman yang diamalkan oleh dunia sejagat. Maka, mata-mata pelajaran ilmu, termasuk Sains dan Matematik hanya akan disampaikan secara berkesan melalui bahasa ibunda. Laporan pakar-pakar pendidikan luar negara dan UNESCO menunjukkan bahawa perubahan bahasa pengantar dalam keadaan kanak-kanak masih belum menguasai bahasa ibunda akan memburukkan prestasi pembelajaran mereka. Ini kerana kanak-kanak seharusnya menggunakan bahasa yang mereka paling fahami untuk tujuan belajar supaya mencapai keberkesanan pembelajaran yang optimum, terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, sekalipun menggunakan bahasa ibunda, kedua-dua mata pelajaran ini masih menjadi satu masalah untuk dikuasai sepenuhnya, maka sekiranya bahasa asing yang mereka kurang biasa dijadikan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, sudah pasti menjejaskan keberkesanan pembelajaran dengan teruk sekali.

Kajian luar negara membuktikan bahawa penggunaan bahasa kedua atau bahasa selain daripada bahasa ibunda dalam peringkat awal persekolahan akan membawa kesan negatif terhadap perkembangan daya pemikiran kanak-kanak dan menyebabkan kemerosotan prestasi akademik dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa. Maka, kepentingan pendidikan bahasa ibunda amat ditegaskan oleh pakar-pakar pendidikan luar negara dan UNESCO.

Pada hakikatnya, pendidikan bahasa ibunda dapat mempertingkatkan daya saing negara dalam era globalisasi. Kejayaan negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China, Jerman, Finland dan Perancis yang mana bahasa Inggeris bukan bahasa ibundanya telah membuktikan keberkesanan pendidikan bahasa ibunda. Sungguhpun sejak di bangku sekolah lagi, rakyat di negara-negara tersebut dididik melalui bahasa ibunda masing-masing, namun mereka mampu meningkatkan daya saing negara dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Selama ini, sekolah-sekolah rendah pelbagai aliran di negara kita telah menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Sekolah-sekolah itu berjaya melahirkan rakyat yang banyak berjasa kepada negara.

Negara kita adalah sebuah negara yang berbilang bangsa, budaya dan bahasa. Kepelbagaian aliran pendidikan adalah kelebihan negara kita. Keunikan kepelbagaian tersebut memperkukuhkan lagi asas negara kita menjadi pusat pendidikan serantau. Justeru itu, kerajaan harus memperkasakan dan memantapkan pendidikan bahasa ibunda di semua aliran sekolah supaya murid-murid memperolehi pendidikan bahasa ibunda yang berkualiti demi kemajuan negara.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus memastikan mata pelajaran Sains dan Matematik di semua aliran sekolah rendah hendaklah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran, pembelajaran dan peperiksaan, iaitu Sekolah Kebangsaan mengguna bahasa kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mengguna bahasa Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil mengguna bahasa Tamil dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Kami dengan tegasnya membantah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua aliran sekolah rendah.

2. Kerajaan harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh berdasarkan prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

7. Memperluaskan Penggunaan ICT di SJKC

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran menegaskan kepentingan ICT (Information &Communication Technology) dalam pendidikan untuk mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta kualiti pendidikan. Usaha kerajaan memperluaskan penggunaan ICT di sekolah adalah amat tepat pada masanya dan selaras dengan transformasi pendidikan sedunia.

Bagaimanapun, dasar perluasan penggunaan ICT di peringkat sekolah lebih mengutamakan SK, manakala SJKC dan SJKT telah diabaikan. Ini menyebabkan SJKC terpaksa berusaha sendiri melalui pelbagai cara dan saluran untuk memantapkan penggunaan ICT dalam P&P.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus memperbetulkan ketidakadilan yang berlaku semasa memperluaskan penggunaan ICT di peringkat sekolah supaya murid-murid dari semua aliran sekolah berpeluang menikmati penggunaan ICT secara adil dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

8. Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) Dan Menyokong Pembangunan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina

Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah sekolah-sekolah yang bukan berasaskan kepada keuntungan (non-profit). Kutipan yuran persekolahan tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan sekolah. Selama ini, SMPC memikul beban ekonomi yang berat dan sentiasa mendapatkan derma daripada masyarakat untuk membiayai kos pembangunan dan pengurusan sekolah. SMPC mewajibkan semua pelajarnya mengambil dan menduduki peperiksaan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.

Peperiksaan bersama SMPC yang pertama telah diadakan pada tahun 1975. Tahun 2011 merupakan tahun yang ke-37 peperiksaan bersama tersebut diadakan. Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate, UEC) Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina telah diterima oleh banyak institusi pengajian tinggi luar negara dan institusi pengajian tinggi swasta negara kita sebagai salah satu kelayakan bagi permohonan kemasukan ke peringkat pengajian tinggi.

Negara kita mempunyai 60 buah SMPC dan jumlah pelajar sekolah-sekolah tersebut semakin bertambah. Pada tahun 2011, jumlah pelajar SMPC mencapai 67 ribu orang. Sebilangan sekolah-sekolah itu mengalami kesesakan murid dan kekurangan ruang pembangunan sehingga 7 ribu orang tidak dapat diambil untuk belajar di SMPC.

SMPC melahirkan 6 ribu hingga 7 ribu orang tamatan menengah tinggi setiap tahun dan hampir 80% tamatan tersebut melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi swasta tempatan dan universiti-universiti luar negara termasuk antara 82 buah universiti luar negara yang terbaik di peringkat dunia.

Pada Disember 2009, Perdana Menteri secara terbuka memperakui SMPC sebagai aset negara dan memuji sumbangan SMPC dalam pembangunan modal insan negara. Perdana Menteri juga berharap SMPC terus diusahakan secara bersungguh-sungguh dan mengekalkan persekitaran persekolahan yang ceria untuk melahirkan lebih ramai lagi modal insan negara yang berkualiti.

Kami mengalu-alukan kerajaan memperakui sumbangan SMPC kepada negara dan berharap kerajaan mengambil dasar dan tindakan yang adil dan proaktif untuk menyokong pembangunan SMPC. Kami berpendapat kerajaan bertanggungjawab menjaga hak dan kebajikan pelajar-pelajar negara kita dan memberi layanan yang adil kepada mereka tanpa mengira aliran pendidikan atau jenis sekolah yang mereka mendapatkan pendidikan.

Selama ini, SMPC memberi sumbangan kepada pembangunan modal insan negara. Tamatan SMPC berkecimpung dalam pelbagai sektor dan ada juga yang menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet kerajaan. Kini, persaingan antara negara adalah persaingan modal insan dan tamatan SMPC yang mempunyai kemahiran asas tiga bahasa adalah golongan yang berpeluang cerah untuk berkhidmat di dalam dan luar negara.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus mengiktiraf sepenuhnya Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate, UEC) Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina dan menerima sijil tersebut sebagai salah satu kelayakan untuk permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, universiti dan institut pendidikan guru dan sektor perkhidmatan awam agar melahirkan modal insan yang dapat berkhidmat dalam
negara. Kerajaan harus mengambil tamatan SMPC untuk berkhidmat dalam sektor awam dan menjadi guru untuk mengatasi masalah kekurangan guru di SJKC.

2. Kerajaan harus menghormati hasrat pemegang Sijil UEC untuk mengikuti kursus latihan perguruan SJKC dan memastikan mereka ditugaskan ke SJKC selepas tamat latihan.

3. Kerajaan harus memberi bantuan kewangan secara sistematik dan tanpa sebarang syarat kepada SMPC setiap tahun, termasuk pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang UEC dan pemberian bantuan kewangan kepada aktiviti-aktiviti pelajar dan sukan. Ini akan dapat mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung oleh masyarakat Cina dan SMPC demi pembangunan pendidikan negara kita.

4. Kerajaan harus meluluskan penubuhan SMPC dan memberi peruntukan wang dan tanah untuk penubuhan SMPC di kawasan yang mempunyai keperluan, termasuk Kuantan, Segamat dan kawasan-kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

9. Layanan Adil Kepada Sekolah Menengah Conforming Dan Meningkatkan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Cina Di Sekolah Menengah Kebangsaan

Sekolah-sekolah Menengah Conforming yang dimaksudkan merujuk kepada sekolah-sekolah yang asalnya ialah Sekolah-sekolah Menengah Cina yang mana bahasa pengantar utamanya telah ditukar daripada bahasa Cina kepada bahasa Inggeris menjadi Sekolah-sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK). Seterusnya, bahasa pengantar utamanya ditukar lagi kepada bahasa Kebangsaan menjadi Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sehingga masa sekarang. Pada masa sekarang, negara kita mempunyai 78 buah Sekolah Menengah Conforming.

Dalam proses penukaran bahasa pengantar, kerajaan telah membuat pelbagai janji kepada Sekolah-sekolah Menengah Conforming tersebut. Ini termasuk kerajaan berjanji menanggung semua perbelanjaan pengurusan dan pembangunan Sekolah-sekolah Menengah Conforming, satu pertiga masa persekolahan digunakan untuk mengajar Bahasa Cina, menyediakan guru yang mencukupi dan terlatih, mengekalkan kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sekolah di sisi undang-undang.

Pada 1 Disember 2010, Dong Zong telah mengemukakan memorandum yang bertajuk "Pandangan Dan Cadangan Mengenai Penyelesaian Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Sekolah-Sekolah Menengah Conforming / Sekolah-Sekolah 25 Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)" kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin. Masyarakat Cina berharap kerajaan menunaikan janji-janji di atas, memberi layanan adil kepada Sekolah-Sekolah Menengah Conforming dan bertanggungjawab membangunkan sekolah-sekolah itu.

Selain itu, kelas bahasa Cina merupakan saluran penting bagi pelajar-pelajar sekolah menengah kebangsaan (SMK), khas pelajar-pelajar Cina mempelajari bahasa Cina.

Sejak tahun 2000, Kementerian Pelajaran telah melantik jawatan Penolong Pengarah Bahasa Cina di setiap negeri untuk mengendalikan kelas bahasa Cina di SMK. Ini telah membawa kepada perkembangan kelas bahasa Cina di SMK. Namun demikian, kelas bahasa Cina masih tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran, lebih-lebih lagi, penyelewengan yang berlaku telah menyebabkan kelas bahasa Cina SMK menghadapi pelbagai masalah.

Masalah-masalah tersebut meliputi masalah kekurangan guru bahasa Cina, kelas bahasa Cina tidak diadakan walaupun terdapat pelajar-pelajar yang ingin mempelajari bahasa Cina dan kelas bahasa Cina diadakan di luar waktu persekolahan.

Sekiranya masalah-masalah berkenaan tidak diselesaikan, tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Cina manakala jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Cina dalam peperiksaan awam juga akan berkurangan. Ini seterusnya mendatangkan kesan negatif dalam latihan perguruan dan kualiti guru-guru Bahasa Cina di SJKC, SK, SMK dan Sekolah-sekolah Menengah Conforming.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus memberi layanan adil kepada Sekolah-sekolah Menengah Conforming dan bertanggungjawab membangunkan sekolah-sekolah itu, menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya serta menunaikan janji-janji kerajaan kepada sekolah- sekolah tersebut. Kerajaan harus memberi pertimbagan wajar dan menerima padangan dan cadangan yang dikemukakan dalam memorandum bertajuk "Pandangan Dan Cadangan Mengenai Penyelesaian Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Sekolah- Sekolah Menengah Conforming / Sekolah-Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)" kepada kerajaan. Antaranya termasuk:
a) Menghormati kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sebagai pihak yang mengurus sekolah.
b) Kesemua belanja mengurus dan pembangunan sekolah hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk pembayaran bil air, elektrik dan lain-lain melalui "sistem bayaran pukal" kerajaan, memperuntukan wang dan tanah untuk pembinaan dan penyelenggaraan sekolah.
c) Pengetua, guru-guru penolong kanan dan penyelia yang dilantik ke Sekolah-sekolah Menengah Conforming hendaklah berkelayakan dalam Bahasa Cina dan perlantikan tersebut hendaklah dipersetujui oleh pihak lembaga pengelola sekolah. Lembaga pengelola sekolah juga berhak mencadang calon pengetua, guru-guru penolong kanan dan penyelia yang dipersetujui oleh lembaga pengelola untuk dilantik oleh Kementerian Pelajaran.
d) Melatih dan menghantar pengetua, guru penolong kanan, guru penyelia, guru Bahasa Cina dan guru mata pelajaran lain yang mencukupi dan berkelayakan untuk Sekolah-sekolah Menengah Conforming.
e) Menunaikan janji-janji kerajaan kepada Sekolah-sekolah Menengah Conforming, termasuk menanggung semua perbelanjaan sekolah, satu pertiga masa persekolahan digunakan untuk mengajar Bahasa Cina, menyediakan guru yang mencukupi dan terlatih, mengekalkan kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sekolah di sisi undang-undang.
f)Menghormati keputusan Sekolah-sekolah Menengah Conforming untuk menetapkan Bahasa Cina sebagai mata pelajaran yang wajib dipelajari dan diambil dalam peperiksaan awam oleh pelajar-pelajarnya.
g)Jabatan Pelajaran Negeri harus berunding dengan pihak lembaga pengelola sekolah dalam aspek pengambilan pelajar. Jabatan Pelajaran Negeri juga harus menghormati keputusan pihak lembaga pengelola Sekolah-sekolah Menengah Conforming yang hanya menerima tamatan daripada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sahaja.

Kerajaan harus mengumumkan dan menambah projek dan peruntukan pembangunan lima tahun Sekolah-sekolah Menengah Conforming di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015).

Kerajaan harus mengadakan sistem dan rancangan latihan perguruan yang sempurna, termasuk menambah pengambilan pensyarah, guru latihan dan kursus perguruan supaya menghasilkan tenaga pengajar yang mencukupi dan berkelayakan untuk mengajar di kelas bahasa Cina dan kelas kesusasteraan Cina di Sekolah-sekolah Menengah Conforming dan Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan.

Kerajaan harus menetapkan kelas-kelas bahasa Cina diatur dalam jadual waktu persekolahan, menambah bilangan kelas bahasa Cina, menetapkan Bahasa Cina sebagai mata pelajaran yang wajib belajar dan diambil dalam peperiksaan awam bagi pelajar-pelajar yang datang dari sekolah-sekolah rendah Cina (SJKC).

Kerajaan harus mengkaji semula dan memperbaiki kurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta peperiksaan mata pelajaran Bahasa Cina. Selain itu, kerajaan juga harus mengkaji sebab-sebab sebenar yang menyebabkan peratusan pelajar yang mendapat gred A+ bagi mata pelajaran Bahasa Cina dalam peperiksaan SPM adalah begitu kecil jumlahnya. Piawaian dan cara pemarkahan mata pelajaran Bahasa Cina dan tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah-masalah berkenaan harus diumumkan secara telus.

10. Memulihkan Kewarganegaraan Mendiang Encik Lim Lian Geok


Pada tahun 1964, kerajaan telah melucutkan kewarganegaraan Encik Lim Lian Geok manakala sijil pendaftaran beliau sebagai seorang guru juga dilucutkan pada tahun 1961. Sungguhpun begitu, beliau tetap tinggal di negara ini dan meninggal dunia pada 18 Disember 1985. Beliau telah membuktikan taat setia, cinta dan sumbangannya kepada negara ini. Walaupun sekian lama Encik Lim Lian Geok telah meninggal dunia, masyarakat Cina tetap mengharapkan kewarganegaraan beliau dipulihkan.

Mendiang Lim Lian Geok merupakan bekas pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan pernah memimpin masyarakat Cina membantah penukaran sekolah-sekolah menengah Cina kepada sekolah-sekolah menengah Inggeris pada tahun 1960-an.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus memandang serius keinginan masyarakat Cina supaya kerajaan memulihkan kewarganegaraan mendiang Encik Lim Lian Geok.

11. Menyokong Pembangunan Pelbagai Aliran Institusi Pengajian Tinggi

Pembangunan Kolej New Era, Kolej Selatan dan Kolej Han Chiang merupakan suatu aset dan keistimewaan kepada negara kita. Mereka telah memperkayakan ciri-ciri masyarakat berbilangan bangsa negara kita dan akan membuat sumbangan yang lebih besar kepada negara sekiranya mereka dinaik taraf ke tahap universiti.

Kehendak kami:

1. Kerajaan harus mengamalkan dasar terbuka untuk menyokong pembangunan pelbagai aliran institusi-institusi pengajian tinggi, termasuk memberi bantuan kewangan kepada Kolej New Era, Kolej Selatan dan Kolej Han Chiang setiap tahun dan meluluskan permohonan mereka untuk dinaik taraf ke tahap universiti.

12. Pengiktirafan Ijazah Universiti Luar Negara

Dunia kini berada dalam era globalisasi dan masyarakat berasaskan pengetahuan. Persaingan antara negara meliputi persaingan modal insan. Sekiranya negara kita ingin mencapai objektif sebagai pusat pendidikan serantau, maka kerajaan harus melaksanakan dasar yang terbuka untuk mengiktiraf lebih banyak lagi ijazah universiti luar negara serta mengatasi masalah-masalah kualiti dan daya saing institusi-institusi pengajian tinggi.

Pada 28 April 2011, Malaysia dan China telah menandatangani satu perjanjian bagi saling mengiktiraf sepenuhnya ijazah universiti antara kedua-dua negara. Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi sedang berbincang dengan pihak Taiwan yang berkenaan berhubung dengan soal pengiktirafan sepenuhnya ijazah universiti dari Taiwan.

Kehendak kami:


Kerajaan harus mengumumkan isi kandungan dan pelaksanaan berkenaan perjanjian pengiktirafan ijazah universiti antara Malaysia dan China.
Kerajaan harus mengiktiraf lebih banyak lagi ijazah universiti luar negara berdasarkan taraf akademik, terutamanya institusi pengajian tinggi yang mempunyai pelajar negara kita. Ini termasuklah pengiktirafan sepenuhnya ijazah universiti dari Taiwan.

13. Pemberian Biasiswa Kerajaan Dan Pengambilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam Berdasarkan Sistem Merit

Selama ini, dasar yang diamalkan dalam pemberian biasiswa kerajaan dan pengambilan pelajar ke institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menimbulkan pelbagai kontroversi dan rasa tidak puas hati. Ini menyebabkan kehilangan modal insan atau bakat yang cemerlang ke negara lain. Masalah ini amat merugikan negara kita dan kerajaan sukar menarik mereka kembali berkhidmat di negara kita.

Kehendak kami:


1.Kerajaan harus mengamalkan sistem merit dalam pemberian pelbagai jenis biasiswa yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Permohonan biasiswa hendaklah dibuka kepada semua pelajar tanpa mengira kaum.
Kerajaan harus mengumumkan kelayakan permohonan, kriteria pemilihan dan maklumat perangkaan bagi menjamin mekanisme dan proses yang telus, adil dan bertanggungjawab. Selain itu, kerajaan juga harus memantau dan menambah baik mekanisme dan proses penawaran dan pengagihan biasiswa tersebut.

2. Kerajaan harus melaksanakan sistem merit yang berasaskan pencapaian akademik dan bukannya berasaskan politik kaum dan agama sebagai dasar pengambilan pelajar ke institusi-institusi pengajian tinggi awam. Selain itu, kerajaan harus menetapkan kriteria- kriteria pengambilan pelajar berasaskan keadaan sosioekonomi, keluarga tunggal, wilayah dan kecacatan kesihatan dalam penggubalan langkah-langkah untuk membantu golongan lemah agar mereka dapat mencapai tahap yang setanding dengan pelajar-pelajar lain.

14. Pelaksanaan Sistem Merit Dalam Pengambilan Dan Kenaikan Pangkat Ahli-ahli Akademik


Pengambilan dan kenaikan pangkat bagi ahli-ahli akademik di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hendaklah berasaskan kepada sistem merit. Penggunaan sistem kuota akan menjejaskan peluang golongan muda mendapat pendidikan berkualiti daripada pensyarah-pensyarah yang cemerlang, malah mendatangkan impak negatif terhadap kualiti pendidikan dan daya saing negara.

Kehendak kami:

1. Sistem merit harus diamalkan dalam pengambilan, penamatan perkhidmatan dan kenaikan pangkat ahli-ahli akademik di IPTA.
2. Kriteria-kriteria yang jelas untuk menilai prestasi seseorang ahli akademik IPTA termasuk penilaian oleh pelajar hendaklah ditetapkan. Kriteria-kriteria ini dijadikan asas bagi menamatkan perkhidmatan atau menaikkan pangkat seseorang ahli akademik.
3. Pemilihan dan perlantikan orang-orang yang berkebolehan cemerlang ke jawatan naib canselor, timbalan naib canselor dan dekan pusat pengajian di sesebuah IPTA hendaklah dilaksanakan tanpa mengira kaum dan kewarganegaraan.

15. Pengumuman Maklumat Secara Telus Dan Cepat

Sebagaimana yang dinyatakan terdahulu dalam memorandum ini, kerajaan tidak mengumumkan beberapa maklumat penting yang ingin diketahui oleh rakyat. Contohnya, kerajaan tidak mengumumkan jumlah peruntukan pembangunan lima tahun bagi setiap aliran sekolah rendah dan sekolah menengah conforming di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015). Selain itu, kerajaan juga tidak mengumumkan bilangan dan tempat pembinaan SJKC baru, peruntukan pembangunan, agihan tanah rizab sekolah dan jadual waktu pembinaan sekolah. Pentadbiran yang kurang telus akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Kehendak kami:
1. Kerajaan harus mengumumkan statistik dan langkah-langkah pentadbiran negara secara telus dan cepat supaya rakyat lebih memahami arah tuju negara. Selain itu, kerajaan harus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat, memenuhi keperluan rakyat dan memastikan hak dan kebajikan rakyat terpelihara.

(3) PENUTUP

Negara kita sudah mempunyai sekolah-sekolah yang pelbagai aliran bahasa sebelum mencapai kemerdekaan. Kewujudan tamadun Islam, China, India dan Barat serta sekolah-sekolah pelbagai aliran bahasa telah memperkayakan ciri-ciri masyarakat berbilang bangsa di negara kita. Kesemua ini merupakan aset dan kelebihan negara kita. Ini membantu negara kita memperkukuhkan daya saing di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, kerajaan dan rakyat haruslah menghargai dan bersama-sama memajukan ciri-ciri masyarakat berbilang bangsa kita, dan berusaha memastikan semua aliran sekolah, bahasa, budaya dan agama di negara kita dapat berkembang dengan lebih baik di masa hadapan.

Kami berharap kerajaan memastikan semua aliran sekolah mendapat layanan yang adil dan ini hendaklah dijamin dari aspek undang-undang, dasar dan pelaksanaan. (Bahagian kedua, tamat)

Baca: Memorandum Dong Jiao Zong kepada PM (Bhg 1)

*Teks di atas adalah sedutan daripada Memorandum Dong Jiao Zong kepada Perdana Menteri Mohd.Najib bin Abdul Razak pada 14 November 2011. Memorandum asal mengandungi data yang terperinci dipersembahkan dalam bentuk jadual.

Tiada ulasan: