Sabtu, 3 Disember 2011

MB : Pertahan Usaha Bantu Rakyat

Oleh Afix Redzuan


HULU KLANG, 3 DIS: Tugas dan tanggungjawab yang dipikul dalam mentadbir negeri Selangor yang memiliki hasil negeri yang besar dengan jumlah penduduk seramai 5 juta orang bukanlah perkara yang mudah untuk dilaksanakan.

Demikian coretan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap dihadapan hampir 400 penduduk setempat di Dewan Serbaguna Taman AU2 bersempena dengan lawatan kerja sehari ke Daerah Gombak semalam.

Katanya, pengorbanan besar perlu beliau lakukan dalam memastikan hasil negeri dapat ditadbir dengan baik selain berdepan cabaran musuh politik demi memastikan rakyat dibawah dibela dengan sewajarnya selain membuktikan Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan berbanding pemerintah terdahulu.

"Saya ada bilik kecil yang saya simpan barang-barang golf. Saya minat main golf di seluruh negara yang saya pergi. Oleh sebab itu, dalam bilik golf saya ada 25 beg.

"Saya beritahu isteri saya, bilik ni kena kunci dan saya tidak boleh bermain lagi. Rakyat sudah memilih saya, maka saya kena bekerja untuk membantu mereka," katanya.

Dalam ucapannya turut memaklumkan, Pembentangan Belanjawan Berimbang 2012 dengan jumlah RM1.6 billlion dengan tambahan Geran Selangorku berjumlah RM300 merupakan bukti ketelusan dan komited Pakatan mentadbir demi keselesaan rakyat.

Ujar Abdul Khalid, pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat yang dipertahankan selama ini sebenarnya telah mendidik rakyat supaya mengetahui hak sebenar yang patut mereka perolehi selama ini.

"Dua sebab kita berikan air percuma. Satu kerana saya rasa kita sudah silap dalam perjanjian dengan syarikat konsesi air. Kita bagi pada orang yang silap.

"Kedua, kalau saya tidak melakukan perkara ini rakyat tidak akan diberitahu mengenai hak mereka sebab perjanjian yang dibuat oleh kerajaan terdahulu, harga setiap tiga tahun naik.

"Tahun 2008, dia (syarikat konsesi) ingin menaikkan (harga) sebanyak 30 peratus. Jadi saya protes," katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri dalam usaha membuka peluang kepada semua rakyat supaya dapat meningkatkan pendapatan bagi mengelakan berlakunya salahguna kuasa dan rasuah terutamanya kakitangan awam.

Katanya, rakyat sudah matang dan boleh menilai sendiri prestasi yang ditunjukkan pemimpin negeri sejak mengambilalih Selangor dari Barisan Nasional.

Tiada ulasan: