Ahad, 4 Disember 2011

Mangsa "Hujan Air Batu" Dapat Sumbangan Oleh Lizawati Madfa


SUBANG JAYA : Penduduk pangsapuri Angsana USJ1 yang menjadi mangsa bencana alam 'hailstorm' atau hujan air batu pertengahan bulan lepas, hari ini mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan bagi meringankan beban mereka.

Sumbangan yang diadakan di perkarangan Surau Al-Muhajirin pangsapuri itu disampaikan oleh ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh kepada 15 penerima iaitu lima yang mengalami kerosakan rumah dan 10 lagi yang rosak kereta.

Menurut Hannah, sumbangan bagi lima buah rumah itu disalurkan melalui Tabung Bencana Alam Pejabat Daerah Tanah Petaling. Sepuluh penerima bantuan kereta mendapat bantuan dari Pejabat DUN dan kerajaan negeri sendiri.

"Walaupun menerima banyak aduan daripada tempat lain, namun kita memilih penduduk Angsana untuk disalurkan sumbangan ini kerana mereka menginap d pangsapuri kos rendah yang mungkin lebih banyak terjejas," jelas Hannah.

Ahli Jawatankuasa Penduduk Zon 4, Syed Azli Sham memberitahu bahawa kebanyakan penduduk yang menerima bantuan pada hari ini mengalami kerugian akibat rumah dimasuki air dan kereta yang rosak akibat dihempap batu atau bumbung yang jatuh dari tingkat atas.

"Atas keprihatinan ADUN Subang Jaya dan pusat bantuan bencana negeri Selangor maka penduduk-penduduk disini menerima sumbangan RM200 setiap seorang," kata Syed Azli yang juga Setiausaha Surau Al-Muhajirin.

Seorang penerima bantuan rumah Rosimah Pilus, 36, menyatakan kegembiraan dan kesyukuran menerima bantuan itu.

"Sememangnya saya rasa terharu dengan sumbangan ini. Walaupun ia tidaklah sebesar mana dan mampu menanggung keseluruhan kerugian yang dialami, namun sekurang-kurangnya sikap keperihatinan pemimpin sebegini menyentuh hati saya," kata ibu beranak dua ini.

Sementera itu, pemaju pangsapuri Angsana, Dergahayu Sdn. Bhd terlebih dahulu menunjukkan keperihatinan membaiki bumbung yang rosak tanpa meminta sebarang kos daripada kerajaan.

Dalam majlis itu juga, Hannah memberitahu bahawa kerajaan negeri telah membuat peruntukan terbaru di bawah tabung amanah untuk bencana alam khusus bagi memberi bantuan dalam kejadian bencana.

Tiada ulasan: