Khamis, 15 Disember 2011

Krisis Bas Di Selangor : SPAD-KTB Perlu Cari Penyelesaian

Oleh Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor mengesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berbincang dengan Konsortium Transnasional Bhd(KTB) bagi menyelesaikan krisis pengangkutan awam apabila perkhidmatan bas City Liner digantung atas alasan kerugian operasi.

Krisis ini menyebabkan kira-kira 80,000 pengguna pengangkutan awam terkandas di seluruh Selangor.

"Kami berharap SPAD dan KTB akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin, Kami akan berbincang dengan SPAD untuk mencari penyelesaian alternatif sekiranya masalah ini gagal diselesaikan," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri melihat isu utama kepada krisis ini ialah mekanisma subsidi bersilang (cross-subsidy) yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada KTB.

Mengikut perjanjian asas ketika lesen itu diberikan kepada KTB ialah City Liner menyediakan perkhidmatan di laluan yang menguntungkan serta dapat menampung operasi bagi laluan yang tidak menguntungkan.

"Adalah tidak adil untuk syarikat ini hanya meneruskan laluan menguntungkan tetapi menghentikan laluan tidak menguntungkan sedangkan syarikat ini telah menerima asas perjanjian ketika lesen dikeluarkan.

"Sebagai contoh, pemaju yang diberikan kelulusan untuk sesuatu projek pembangunan juga perlu membina rumah kos rendah sebagai sebahagian daripada projek pembangunan.

"Walaupun kedua belah pihak sedar pembinaan rumah kos rendah ini tidak menguntungkan, tetapi kerajaan tidak boleh membenarkan pemaju lari dari tanggungjawab membina rumah kos rendah hanya kerana ia merugikan," jelas Abdul Khalid.

Mengenai permintaan KTB untuk subsidi daripada kerajaan negeri bagi meneruskan laluan yang tidak menguntungkan itu, Abdul Khalid berkata, perkara ini menunjukkan polisi pengswastaaan Malaysia gagal serta telah lari dari matlamat asal dasar perswastaan.

Dasar ini bermatlamat mahu mengurangkan beban kerajaan dalam perniagaan serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

"Sejak sekian lamanya, kerajaan menyediakan suasana perniagaan dengan jaminan keuntungan berterusan tetapi apabila perniagaan dilanda kerugian, kerajaan terpaksa pula menanggung beban untuk menyelamatkan operasi syarikat.

"Kerajaan perlu menghentikan amalan pemberian perniagaan yang hanya menguntungkan individu di bawah skim penswastaan," tegas Abdul Khalid.

Tiada ulasan: